Mengapa Kita Tak Bermain Free Flowing Football?

Free flowing football. One-touch football. Joga bonito.

Ia adalah terma yang sangat biasa kita dengar dalam bola sepak. Tetapi ia masih satu konsep yang sangat asing dalam bola sepak tempatan.

Ketika bola sepak moden semakin berevolusi kepada stail permainan sebegini, bola sepak kita seolah-olah terperangkap dalam kapsul masa. Kita masih mengamalkan bola sepak gaya British.

Sedangkan pasukan-pasukan bola sepak British sendiri sudah melupakan gaya permainan British. Kini mereka sedang belajar untuk bermain free flowing football.

Atau joga bonito kalau mengikut cakap orang Brazil.

Apa itu free flowing football?

Ada orang memanggilnya one-touch football. Pelé memanggilnya joga bonito. Peminat Arsenal memanggilnya ‘Wengerball’. Orang Belanda memanggilnya ‘totaalvoetbal’.

Ia merujuk kepada satu falsafah dalam bolasepak.

Dalam falsafah free flowing football, serangan dilakukan dengan 2 komponen:

1. Hantaran dilakukan dalam tempo yang tinggi.
2. Pemain sentiasa bergerak sebagai satu unit.

Hantaran dilakukan dalam tempo yang tinggi

Bercakap mengenai free flowing football, ramai orang menganggap ia harus dilakukan dengan hantaran pendek.

Tak semestinya. Ada sebab mengapa Pep Guardiola dipetik berkata:

“Saya benci tiki taka. Ia tiada matlamat dan tiada gunanya. Hantaran anda perlu ada matlamat, dan matlamatnya adalah untuk menghantar bola ke kawasan gol pihak lawan. Bukannya saja-saja membuat hantaran.”

Petikan kata Guardiola ini ada ditulis dalam buku Pep Confidential: Inside Guardiola’s First Season at Bayern Munich yang ditulis oleh Martí Perarnau.

Ia menjelaskan salah faham orang ramai yang mengatakan; falsafah bola sepak Guardiola mementingkan hantaran pendek.

Dalam buku ini, Guardiola menjelaskan punca pasukannya banyak melakukan hantaran pendek (tiki taka) adalah kerana banyak pasukan yang bermain menentang Barcelona suka bertahan dengan garisan defensif yang rendah (deep defensive line).

Tujuannya adalah untuk mengecilkan ruang yang boleh dieksploit oleh penyerang Barcelona yang laju-laju.

Apabila Real Madrid cuba bermain dengan garisan defensif yang tinggi (high defensive line) ketika menentang Barcelona di Nou Camp pada 2010, kebanyakan gol Barcelona terhasil melalui hantaran jauh Lionel Messi ke ruang di belakang 4 pemain pertahanan Madrid.

Setiap kali Barcelona sampai ke kawasan padang Madrid, tempo hantaran juga menjadi semakin laju.

Setiap hantaran yang Messi lakukan pula ada matlamatnya. Iaitu untuk mengeksploit ruang di belakang jentera pertahanan Madrid yang boleh dimanfaatkan oleh David Villa dan Pedro (kemudian Jeffren).

https://www.youtube.com/watch?v=rLXlvhV8cK8

Pemain sentiasa bergerak sebagai satu unit

Satu persamaan ketara antara pasukan Belanda era 70-an dengan mana-mana pasukan yang bermain free flowing football adalah kesefahaman dan kebolehan pemain-pemainnya untuk bermain sebagai satu unit.

Pasukan-pasukan ini mempunyai pemain pertahanan yang boleh bermain seperti penyerang, dan penyerang yang mempunyai disiplin pertahanan sebaik pemain pertahanan.

Ketika serangan, jika pemain sayap membawa bola masuk ke tengah, anda boleh menjamin akan ada seorang pemain dari posisi lain yang akan mengisi ruang yang ditinggalkan oleh pemain sayap tersebut.

Jika penyerang turun ke bawah untuk mengutip bola, anda boleh menjamin akan ada seorang pemain tengah yang akan membuat larian untuk mengisi ruang yang ditinggalkan oleh penyerang tersebut.

Elemen penting dalam free flowing football

1. Kemampuan bermain one touch football

Ini adalah kemahiran asas untuk membentuk pasukan yang bermain free flowing football.

Setiap 11 pemain perlu mempunyai first touch yang bagus. Termasuklah pertahanan tengah dan penjaga gol.

Pemain yang mempunyai bola perlu sentiasa melihat ke hadapan untuk membuat hantaran. Dalam erti kata lain, beliau perlu sentiasa melihat peluang untuk membuat forward pass.

2 atau 3 pemain yang berdekatan dan tidak mempunyai bola pula wajib memberikan pilihan (passing options) kepada pemain yang mempunyai bola.

Sebab itulah pemain akar umbi perlu diajar untuk membentuk segi tiga (triangles) di sekitar pemain yang memegang bola.

Ia memerlukan satu unit serangan yang tidak mementingkan diri dan mempunyai persefahaman yang tinggi.

2. Kawalan di ruang yang sempit (close control)

Aspek ini adalah cabaran terbesar dalam falsafah free flowing football.

Apabila pasukan anda semakin hampir dengan kawasan pertahanan pasukan lawan (final third), pemain anda tidak akan mendapat ruang yang besar untuk bermain free flowing football seperti di kawasan padang lain.

Kemahiran menerima bola dan membuat hantaran di ruang kecil yang wujud di kawasan final third ini adalah kemahiran istimewa.

Tak ramai pemain yang boleh kekal tenang ketika menerima bola walaupun dikelilingi ramai pemain pasukan lawan. Apatah lagi melihat larian rakan sepasukannya dan membuat hantaran ke arah mereka.

Sebab itulah pemain yang sebegini amat istimewa.

Merekalah pemain yang menjayakan hole system; sistem permainan di mana ada 1-2 pemain yang mampu beroperasi di poket ruang yang kecil di tengah.

Antara pemain yang boleh dijadikan rujukan dalam sistem ini adalah Phillip Coutinho, Mesut Ozil, Andres Iniesta, Juan Mata dan David Silva

3. Kadar kelajuan (pace) dan kesegeraan (urgencies) ketika merancang serangan

Sehingga kini pemain bola sepak kita masih lagi gagal mengawal tempo permainan dengan betul.

Ketika ada ruang besar di kawasan pertahanan lawan, tempo permainan sepatutnya dilajukan.

Gelecekan perlu dikurangkan dan hantaran ke ruang (through ball) perlu diutamakan.

Tetapi pemain kita memegang bola terlalu lama dan gagal menggerakkan bola dengan pantas. Sehingga menyebabkan tempo serangan menjadi perlahan.

Ketika pasukan lawan sedang bertahan ramai-ramai dan tidak meninggalkan banyak ruang, tempo permainan sepatutnya diperlahankan.

Ketika inilah servis penggelecek (dribbler) diperlukan untuk membuka ruang. Hanya apabila ada ruang, barulah tempo permainan boleh dilajukan semula.

Tetapi pemain kita selalu gopoh dalam situasi ini.

Ketika tiada ruanglah, mereka mahu membuat through ball. Akibatnya pasukan kehilangan bola dan terdedah kepada serangan balas pasukan lawan.

4. Kepadatan (compactness) ketika bertahan dan keluasan (width) ketika menyerang

Asasnya mudah. Luaskan padang ketika menyerang. Dan sempitkan padang ketika hilang bola.

Kelantan ketika di bawah kendalian Azraai Khor adalah antara salah satu pasukan yang cuba bermain dengan hantaran pendek.

Tetapi strategi mereka memakan diri kerana tiada keluasan (width) diberikan oleh pemain posisi lain setiap kali Wan Zack dan Wan Zaharulnizam membawa bola dari kawasan sayap ke tengah.

Ini menyebabkan Kelantan sering hilang bola ketika menyerang. Mereka juga kelihatan sukar (laboured) untuk mencipta peluang keemasan gol (clear-cut chances).

kelantan008

Ketika bertahan, 4 pemain pertahanan perlu sentiasa kompak dan padat.

Jarak antara 4 pemain pertahanan ini mesti dikecilkan supaya pasukan menyerang hanya boleh menyerang melalui hantaran lintang sahaja.

4-5 pemain tengah juga perlu kompak dan padat.

Mereka tidak boleh meninggalkan ruang yang besar di belakang mereka (atau di hadapan 4 pemain pertahanan). Kerana ruang ini boleh dieksploit untuk menghancurkan organisasi 4 pemain pertahanan tersebut.

bayern-barca-leg2-defensiveshape-mid-05012013

Kesimpulan

Free flowing football adalah salah satu falsafah bola sepak yang sangat digemari oleh pasukan hebat. Kerana ia sukar dikawal dan dijangka oleh pasukan lawan.

Dengan adanya pemain yang beroperasi dalam hole system, free flowing football hanya boleh dikawal dengan bertahan ramai-ramai. Atau dalam erti kata lain, parking bus.

Free flowing football mungkin nampak mudah di mata yang melihat. Tetapi untuk melaksanakannya, pasukan anda perlu mengambil kira aspek kemahiran teknikal pemain dan permukaan padang.

Tetapi ia ternyata falsafah bola sepak yang amat sesuai untuk bola sepak kita.

Daripada bertarung di udara dengan pertahanan tengah yang tinggi-tinggi, penyerang Malaysia mempunyai peluang lebih cerah untuk menjaringkan gol jika bola dimainkan ke kakinya.

Sebab itulah falsafah bola sepak ini perlu diajar di semua peringkat akar umbi. Kerana kalau kita nak melentur buluh, biarlah dari rebungnya.

Baca juga: APAKAH PERBEZAAN TAKTIKAL TERENGGANU DI BAWAH AHMAD YUSOF?

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN