Quantcast

BERITA

“Pemain No.10 Hanya Buatkan 4-3-3 Menjadi Lemah”

Lagenda Ajax Amsterdam dan Barcelona, Johan Cruyff melahirkan rasa bimbangnya terhadap cara Ajax Amsterdam bermain sistem 4-3-3 dalam kolum mingguannya di akhbar Belanda, De Telegraaf.

Menurut Cruyff, pemain no.10 hanya membuatkan sistem 4-3-3 menjadi lemah.

Walaupun tidak menyebut nama pemain tersebut, Cruyff dipercayai merujuk kepada Davy Klaassen dalam sistem 4-3-3 Ajax Amsterdam yang dilatih oleh Frank de Boer.

Cruyff menulis:

“Saya boleh beri lebih daripada 10 sebab mengapa pemain no.10 tak boleh bermain dalam sistem 4-3-3. Pemain sebegini hanya membuatkan pasukan menjadi lemah.”

“Semasa tahun 80-an, ketika saya mengurus Ajax, semua lawan kami menggunakan sistem 4-4-2 dengan 2 penyerang.”

“Untuk mendapatkan kelebihan taktikal, kami bermain dengan 3 pemain pertahanan dan bertukar dari 4-3-3 kepada 3-4-3. Kami susun jentera tengah kami dalam bentuk berlian.”

“Kami sebenarnya tak bermain 3-4-3, tetapi lebih kepada sistem 3-1-2-1-3. Sistem ini ada dua garisan tambahan yang membuatkan permainan kami bertambah lancar.”

Pemain no.10 adalah pemain yang bermain di belakang 3 penyerang. Di Ajax, saya memilih John Bosman. Di Barcelona, saya memilih José Bakero.”

Cruyff turut memberitahu lama-kelamaan, inovasi taktikalnya yang meletakkan pemain no.10 di belakang 3 penyerang telah dapat dihidu oleh pasukan lawan.

“Beberapa tahun kemudian, pasukan lawan telah mengetahui helah kami dan mula menggunakan 3 penyerang pula.”

“Mereka akan meletakkan seorang penyerang dengan 2 pemain sayap untuk memaksa kami menggunakan 4 pemain pertahanan semula. Menggunakan pemain no.10 dalam situasi ini sangat berisiko.”

Cruyff kemudiannya menjelaskan mengapa pemain no.10 tak sesuai dimainkan ketika bertemu pasukan yang menggunakan 3 penyerang:

“Untuk memberi keseimbangan kepada pasukan, pemain tengah perlu diletakkan dalam posisi defensif, bukannya di posisi menyerang. Oleh itu, pemain no.6 (defensive midfielder) diperlukan, bukannya pemain no.10.”

“Dengan pemain no.10, anda akan bermain 4-2-1-3 (atau 4-2-3-1). Dengan pemain no.6, sistem anda menjadi 4-1-2-3 (atau 4-3-3).”

“Anda boleh lihat dengan pemain no.10, pasukan anda hanya mempunyai 2 pemain tengah di belakang bola. Pemain no.10 hanya fokus kepada tugas menyerang sahaja.”

“Tetapi dengan pemain no.6, pasukan anda mempunyai 3 pemain di belakang bola. Ketika menyerang, 2 pemain tengah di hadapan pemain no.6 boleh menyerang.”

“Inilah caranya anda menyelam sambil minum air. Anda mempunyai seorang pemain tambahan ketika fasa defensif dan ofensif.”

“Bila anda memilih pemain no.10, pasukan anda akan menghadapai masalah apabila pasukan lawan naik menyerang. Ini kerana hanya 2 pemain tengah anda sahaja yang membuat kerja defensif.”

“Dan 2 pemain ini jugalah yang perlu membuat hantaran 60m kepada pemain sayap ketika serangan dilakukan. Ini kerja mustahil.”

Apa kata anda? Adakah anda merasakan kata-kata Cruyff ada betulnya? Atau adakah Cruyff sekadar mengacau kerja Frank de Boer dan perlu senyap sahaja?

Baca juga: “AJAX AMSTERDAM DAH MENGABAIKAN PRINSIP ASAS BOLA SEPAK”

Sumber: Cruyff Institute