Bekas penyerang Tottenham Hotspur, Frederic Kanoute menyifatkan bahawa kelab tersebut berdepan tugas sukar bagi menghalang dua individu penting, Harry Kane dan Mauricio Pochettino dari meninggalkan pasukan.
Kanoute yang beraksi buat Spurs pada tahun 2003 hingga 2005 melihat hanya kejayaan mendakap piala menjadi kunci utama dalam memastikan kedua-dua mereka kekal bersama Tottenham.
Harry Kane dilaporkan menjadi sasaran Real Madrid manakala Manchester United dikatakan berminat untuk membawa masuk Pochettino bagi mengisi kerusi panas di Old Trafford.
”Dia sememangnya merupakan salah seorang penyerang yang terbaik di Eropah ketika ini,” ujar Kanoute mengulas mengenai Harry Kane.
”Dia mungkin akan pergi dan menikmati pengalaman baharu dan membawa kariernya ke tahap yang lebih tinggi.”
”Pada masa yang sama, sekiranya dia berjaya memenangi sesuatu bersama Tottenham, saya merasakan mereka mempunyai peluang untuk mengekalkannya di sana. Tetapi ia akan menjadi sukar.”
”Mereka (Tottenham Hotspur) telah melakukannya dalam beberapa tahun terakhir, mengekalkan pemain mereka, Kita tahu bahawa mereka tidak membawa masuk pemain baru dan mereka juga langsung tidak membeli pemain pada musim ini.”
”Mereka terus mengekalkan tahap yang tinggi jadi ia sangat baik. Dalam bola sepak moden, ia sangat jarang berlaku.”
”Saya merasakan mereka perlu untuk melakukannya, memenangi sesuatu dan mereka boleh melakar sejarah bahagian seterusnya dengan mengekalkan Pochettino dan terus membangunkan kelab ini.”
”Ia mungkin sukar untuk mengekalkan jurulatih untuk tempoh beberapa tahun terutamanya jika mereka tidak memenangi apa-apa.”
Musim ini, skuad yang berpangkalan di London itu masih berpeluang untuk merebut trofi kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah dan Liga Perdana Inggeris.