Frank Lampard Dilantik Sebagai Pengurus Baharu Derby County

Frank Lampard

Legenda hidup Chelsea, Frank Lampard mengikuti jejak langkah rakan senegara yang turut merupakan bekas perancang kreatif England, Steven Gerrard terjun ke dunia pengurusan selepas dilantik menjadi pengurus Derby County.

Lampard berjaya mengenepikan cabaran 19 pengurus lain yang turut menghantar permohonan bagi membimbing kelab yang beraksi dalam EFL Championship itu.

Keputusan yang dibuat pengurusan tertinggi Derby County itu bakal menjadi pengalaman pertama buat Lampard dalam berperanan sebagai seorang pengurus.

Menurut laman web rasmi Derby County, kelab yang dikenali dengan panggilan The Rams itu telah menawarkan kontrak selama tiga tahun buat pengurus berusia 39 tahun tersebut.

Mengulas mengenai fasa baru dalam hidupnya, Frank Lampard ternyata teruja dengan kepercayaan yang telah diberikan terhadap beliau.

”Saya teruja untuk mengorak langkah pertama ke dalam dunia pengurusan dengan kelab yang mempunyai tradisi dan sejarah yang begitu besar.”

”Saya telah menghabiskan banyak masa bagi membincangkan mengenai tugas dan objektif kelab bersama pengerusi Mel Morris CBE dan lembaga pengarah.”

”Kami mahu membina kelab ini dari kedudukan keenam dalam saingan Championship musim lalu, manakala pada masa yang sama untuk membawa beberapa pemain remaja yang cemerlang dan bakat akademi yang kami miliki ke Pride Park.”

Frank Lampard bersama Melvyn Morris CBE mempamerkan jersi baharu Derby County.

Lampard turut menyifatkan pengalamannya mendapat bimbingan pengurus-pengurus hebat mampu memberikan keyakinan bagi menggalas tugas selaku pengurus dengan acuan beliau sendiri.

“Ini adalah tugas pertama saya sebagai pengurus tetapi saya telah berusaha untuk ini dalam tempoh masa yang lama.”

”Saya telah bekerja rapat dengan beberapa jurulatih terbaik dalam permainan dan saya yakin dengan kebolehan saya sendiri dan pasukan yang ada di sekeliling saya.”

”Saya tahu tidak mudah untuk menguruskan sebuah pasukan bola sepak, tetapi saya di sini untuk bekerja keras. Saya sentiasa memandang ke hadapan untuk bermula dan menghadapi cabaran yang bakal mendatang.”

Kehebatan Frank Lampard selaku pemain tidak boleh disangkal lagi apabila beliau merupakan pemain tengah yang menjaringkan gol terbanyak dalam kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas mencipta 177 gol.

Beliau berada di tempat keempat dalam rekod penjaring terbanyak dibelakang Alan Shearer, Wayne Rooney dan Andy Cole.

Lampard turut merupakan pemain keempat dalam sejarah EPL yang mencatatkan jumlah bantuan jaringan terbanyak iaitu sebanyak 102 bantuan.

Foto: dcfc.co.uk

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN