Frank De Boer Dedahkan Tangan Ghaib Di Inter Milan Halang Perubahan Kelab

“Mereka mahu saya datang untuk memberikan perubahan, namun mereka tidak membenarkan saya ‘sentuh’ apa-apa ketika di sana.” Itulah luah Frank De Boer ketika berkongsi tentang kegagalan beliau di Inter Milan.

Frank De Boer ke Inter

Pengurusan tertinggi Inter Milan mulai menyedari kepentingan anjakan paradigma di dalam gaya permainan Inter Milan. Ini selepas beberapa pengurus moden telah mengubah dimensi permainan sesebuah kelab menjadi menarik.

Tidak payah bercerita tentang Guardiola, Klopp, Pochettino, mahupun Luis Enrique, di Itali ketika itu ada Maurizzio Sarri yang menujukkan falsafah permainan yang menarik.

Gaya permainan bola sepak moden adalah berteraskan ‘pressing’ dan daya kreativiti dan kecerdasan tinggi para pemain. Lalu Inter Milan merasakan Frank De Boer sebagai calon terbaik untuk menggalas tugas di Inter Milan sebagai pengurus baharu pasukan itu.

Presiden Inter Milan ketika itu – Eric Thohir menyatakan kegembiraan beliau mendapatkan pemain paling banyak kaps dalam sejarah Belanda itu. Jurulatih yang mengubah Ajax kembali ke landasan bola sepak berasaskan total football.

Frank De Boer membantu Ajax menjuarai Eredivisie sebanyak 4 musim berturut-turut. Maka beliau merasakan sudah tiba masanya beliau mencari angin baharu di dalam karier.

Ketika itu Inter Milan berhadapan dengan persaingan daripada Southampton yang mahu menggantikan Ronald Koeman – yang menyertai Everton.

Namun malangnya, Frank De Boer hanya bertahan selama 85 hari di Inter Milan. Beliau dipecat selepas Inter Milan terjerumus ke tangga ke-12 dalam Serie A.

Abang kembar beliau iaitu Ronald De Boer terus memuat naik tweet berbunyi: “Projek ini memerlukan sedikit masa”

Ronald merasakan adiknya tidak diberikan sokongan dan masa yang secukupnya di Inter Milan.

Dilema De Boer

Hari pertama De Boer di Inter, beliau terus menerangkan pelan pembentukan pasukan yang beliau mahukan. Beberapa pemain yang beliau ingin bawa masuk ke Inter.

Namun malangnya, De Boer telah diganggu oleh pengurusan tertinggi yang menentukan beberapa nama pemain perlu beliau gunakan.

De Boer diberikan kuasa yang sangat kecil dalam urusan perpindahan pemain. Dan pengurusan tertinggi Inter Milan sudah ada nama pemain yang mereka mahukan.

Seterusnya, beralih kepada isu budaya dan struktur. Frank De Boer mendedahkan beliau tidak ada kuasa untuk mengubah budaya dan struktur pengurusan di Inter Milan.

Lalu beliau pelik: “Bagaimana saya boleh mengubah pasukan ini jika saya tidak boleh menyentuh apa-apa.”

“Saya terdesak mahu mengubah Inter Milan. Saya mahu menukar struktur dan budaya di sana kerana kelab itu sudah lama kemarau kejuaraan.”

“Namun malangnya saya berurusan dengan sekumpulan manusia ‘busuk'[puaka].”

“Saya dilarang untuk menyisihkan atau tidak menurunkan beberapa pemain.”

“Mungkin saya patut lebih tegas ketika itu. Ini kerana jika kamu mahukan perubahan, kamu harus melakukan banyak perkara pada landasan yang betul.”

“Mungkin saya terlalu berlembut dan cuba menjaga hati orang lain kerana mahu menjadi rakan mereka.”

Pengaruh Jose Mourinho

Akhbar berpengaruh Itali, Corriere Dello Sport menyatakan pandangan mereka ke atas Inter Milan yang masih hidup di bawah bayangan Mourinho.

Sejak pemergian Mourinho, pengurus baharu kelab itu akan berhadapan dengan cabaran terlalu dibandingkan dengan Mourinho yang memberikan mereka treble.

Inter Milan bergelut dengan prestasi sebaik sahaja Jose Mourinho meninggalkan kelab itu ke Real Madrid.

Jose Mourinho masih kekal pengurus terakhir yang memberikan Inter Milan trofi kejuaraan sehingga ke hari ini.

Hal yang sama dihadapi oleh Luciano Spalletti pada hari ini. Ramai peminat Inter Milan sendiri masih dambakan Jose Mourinho untuk kembali ke kelab itu sehinggakan setiap kekalahan akan keluarlah nama Mourinho. Lebih-lebih lagi kini Jose Mourinho tidak berjawatan.

Mereka sentiasa mahukan pengurus ala Mourinho. Itulah sebab kenapa mereka mahukan Spalletti sebelum ini. Namun kini Spalletti berhadapan dengan masalah yang hampir sama.

Spalletti pernah meluahkan beliau kecewa dengan cara Inter Milan berurusan dalam jendela perpindahan. Spalletti tidak seperti De Boer, beliau lebih tegas. Beliau menyisihkan dan melucutkan jawatan kapten daripada Mauro Icardi yang besar kepala walaupun pemain itu memiliki rekod gol luar biasa.

Kini beberapa media pro Inter Milan mulai memainkan sentimen Spalletti vs pemain bintang. Mereka menggambarkan Spalletti sebagai perosak kepada legenda seperti Francesco Totti. Ini selepas Spalletti tidak sehaluan dengan legenda Roma itu pada musim terakhir di sana.

Itulah cabaran yang dihadapi oleh pengurus-pengurus Inter Milan pasca Jose Mourinho.

Namun yang agak mengejutkan kali ini Inter Milan menyokong tindakan Luciano Spalletti secara terbuka. Mereka mengumumkan perlucutan jawatan kapten Mauro Icardi di laman rasmi kelab serta akaun media sosial.

Drama pertukaran pengurus ini terus menghantui Inter Milan. Mancini yang cemerlang membawa mereka ke 4 teratas sejak 2016, juga digantikan dengan De Boer sebelum itu.

12 kali mereka bertukar pengurus selepas pemergian Jose Mourinho.

Rumusan

Inter Milan boleh dikatakan kelab yang memiliki kemampuan yang kuat dalam keluar daripada krisis kewangan. Daripada diselamatkan oleh era Eric Tohir kepada pengambilalihan oleh Suning Holdings Group pada 2016.

Namun malangnya dari segi kesinambungan, mereka terus dibayangi oleh Jose Mourinho.

Pengurusan tertinggi Inter Milan perlu lebih percayakan orang yang mereka lantik untuk menggalas sesuatu tugas. Ini termasuk pengurus, jurulatih, pasukan scouting dan sebagainya.

Berbalik kepada Frank De Boer. Beliau kini menguruskan Atalanta United. Beliau menyatakan pengalaman di Inter Milan dan Crystal Palace telah banyak mengajar beliau.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN