Pengendali pendatang baharu CIMB Liga Super 2020, UiTM FC, Frank Bernhardt menyatakan yang aksi berdepan PDRM FA pada esok adalah penting buat mereka memburu tiga mata pertama selepas meraih satu mata berdepan Kedah pada Rabu.
Sekali lagi akan beraksi di halaman sendiri di Stadium UiTM, yang menurut Frank Bernhardt, pasukannya perlu memanfaatkan setiap aksi di gelanggang sendiri.
Pengendali berusia 50 tahun itu turut berpendapat yang skuad The Lion seharusnya memenangi aksi berdepan Kedah tempohari kerana ia adalah aksi di halaman sendiri.
“Apabila melihat kepada kedudukan pasukan ketika ini, saya rasa yang kita tidak mahu tersingkir ke Liga Premier dan jelas ini adalah perlawanan yang kita perlu menang. Kita harus menang,” jelas Frank Bernhardt selepas aksi menentang Kedah.
Keputusan seri [Kedah] sudah memadai buatnya yang menyaksikan para pemainnya sudah terlampau penat selepas melalui dua perlawanan sukar, iaitu berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 7 Mac dan kemudian juara Piala FA 2019, Kedah.
“Mungkin okay untuk seri dalam perlawanan ini. Mungkin kita hanya dapat satu mata tetapi ada perkara positif yang ditampilkan. Dua perlawanan sukar dalam masa yang singkat selepas JDT dan kini bertemu Kedah. Pemain-pemain saya sudah penat.
“Antara perkara positif adalah Gustavo Almieda telah menjaringkan gol dan ini akan memberikannya keyakinan dalam perlawanan selepas ini untuk meledak lebih banyak gol buat kami,” jelas Frank Bernhardt mengenai prestasi pemainnya.
Gustavo Almieda merupakan penyerang baharu yang menyertai UiTM FC daripada kelab Vietnam, Nam Dinh. Buntu dalam dua aksi sebelum ini berdepan Melaka United dan JDT, penyerang berusia 23 tahun itu sudah mula mendapat sentuhannya.
Pada musim lalu, UiTM FC dibawah kendalian Ismail Zakaria memiliki penyerang prolifik, Zarko Korac yang merupakan pemenang Kasut Emas Liga Premier.
Mengakui ia adalah perlawanan yang sukar buatnya dan para pemainnya, pengendali kelahiran Jerman itu turut berpuas hati dengan prestasi seorang lagi pemain import dari Lubnan, Rabih Ataya yang menurutnya berpeluang meledak gol kemenangan.
“Perlawanan di gelanggang sendiri seharusnya kita menang. Kita miliki banyak peluang untuk menjaringkan gol, [Rabih] Ataya juga hampir menjaringkan gol kemenangan buat kita. Tetapi ia adalah satu perlawanan yang sukar,” tambahnya lagi.
KREDIT FEATURED IMAGE: UiTM FC