Frank Bernhardt Sudah 60 Hari Menunggu Bayaran Pampasan Dari FAM

Isu penamatan kontrak dan pampasan kepada bekas pengendali pasukan negara Bawah-23, Frank Bernhardt dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) jelas belum selesai.

Memetik laporan Rizal Hashim daripada Stadium Astro, Frank Bernhardt masih mempunyai perhitungan dengan FAM walaupun selepas 60 hari pemecatan beliau berlalu.

Pemecatan Frank Bernhardt

Walaupun Bernhardt mengakui tidak terkejut dengan pemecatannya pada Mac yang lalu, keputusan pemecatan beliau masih menjadi satu tanda tanya.

Pengumuman pemecatan tersebut adalah ketika Bernhardt sedang menjalankan tugas bersama skuad projek Bawah-23 tahun negara di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Tiada perbincangan di antara kedua-dua belah pihak dilaporkan mengenai status mahupun pemecatan tersebut.

Kredit: Goal.Com

Perlantikkan Bernhardt pada Disember 2015 yang lalu terus menamatkan peranan Datuk Ong Kim Swee bersama skuad Bawah-23 tahun negara yang disandangnya sejak 2009.

Ini menjadikan Datuk Ong Kim Swee dilantik sebagai pengendali sementara skuad senior kebangsaan sebelum dilantik sepenuhnya untuk jawatan ketua jurulatih Harimau Malaya.

Keputusan memecat Frank Bernhardt pada Mac yang lalu, membuatkan Datuk Ong Kim Swee kembali menerajui skuad Bawah-23 tahun negara, dengan Sukan SEA menjadi pentas pertama ujian.

FAM Turut Alami Isu Gaji Tertunggak?

Apakah sebenarnya yang berlaku?

Menurut perkiraan biasa, pihak FAM harus menebus baki kontrak Bernhardt sebelum melepaskannya sebagai pampasan kepada pemecatan beliau.

Berdasarkan baki 10 bulan kontrak dan gaji bernilai RM70,000 sebulan seperti yang dilaporkan oleh Stadium Astro, FAM perlu membayar pampassan berjumlah RM700,000 atau berdasarkan nilai pampasan yang dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak.

Kredit: Asiana.my

“Urusan saya belum selesai,” ujar Bernhardt ringkas.

“Saya tidak akan teragak-agak membawa kes saya kepada FIFA jika tiada jalan penyelesaian yang dipersetujui bersama,” tegasnya beliau lagi dalam laporan berkenaan.

Pengendali dari Jerman itu enggan mengulas lanjut berkenaan isu ini. Laporan berkenaan turut melaporkan FAM hanya menawarkan bayaran pampasan berjumlah 3 bulan gaji untuk menamatkan hubungan dengan Bernhardt.

Jelas ia bukan jumlah yang dipersetujui oleh Frank Bernhardt.

Perlantikkan Frank Bernhardt

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan perlantikan Frank Bernhardt sebagai Ketua Jurulatih pasukan Malaysia Bawah-23 pada 9 Disember 2015 yang lalu.

Pengendali dari Jerman yang kaya dengan pengalaman itu dilaporkan menjadi pilihan FAM setelah menyingkirkan calon-calon lain seperti Michael Weiss dan juga Datuk Ong Kim Swee.

Selain daripada Michael Weiss dan Datuk Ong Kim Swee, perlantikkan yang disaring oleh satu jawatankuasa yang diketuai oleh bekas Timbalan Presiden FAM, Datuk Abdul Mokhtar Ahmad turut melakukan saringan terhadap 80 calon yang lain.

Photo by Kamarul Akhir / www.asiana.my

Proses saringan dan pemilihan dilaporkan dilakukan melalui saluran temuduga menerusi aplikasi Skype sebelum disenarai pendekkan.

Pengendali skuad senior Harimau Malaya sekarang, Nelo Vingada turut dilaporkan berada dalam senarai tersebut. Pengesahan pemilihan Bernhardt dilakukan setelah FAM melakukan timbang tara selama 2 bulan lamanya.

Jelas ia satu proses yang teliti untuk memastikan pingat emas Sukan SEA di Kuala Lumpur pada tahun ini berada di dalam genggaman.

Rumusan

Pengendali berpengalaman berusia 47 tahun ini pernah mengendalikan pasukan Estonia Bawah-17 dan Bawah-21 tahun dari tahun 2007 sehingga tahun 2012.

Sebelum itu Bernhardt mengendalikan pasukan dipelbagai peringkat umur bersama FC St.Pauli di Hamburg, Jerman.

Persoalannya sekarang ialah bilakah FAM akan menyelesaikan isu kontrak Frank Bernhardt ini? Adakah FAM terlepas pandang kerana ia tidak diwar-warkan di media sosial sepertimana dengan kes yang lain?

Walau apa pun, kita mengharapkan isu penyelesaian kontrak di antara Frank Bernhardt dan FAM dapat diselesaikan dengan kadar segera demi maruah dan nama baik bola sepak negara.

Bola sepak kita sudah dilihat terlampau kerap disebelungi oleh isu pembayaran gaji dan pampasan yang tertunggak. Satu lagi perkhabaran di peringkat antarabangsa, pasti bukan sesuatu yang kita harapkan.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN