Pada perlawanan terakhir Serie A musim lalu, Francesco Totti mengakhiri kariernya di atas padang dengan sebuah ucapan yang menyentuh hati ramai penyokong AS Roma.
Kali ini lagenda kota Rom moden ini mengesahkan persaraannya dengan mengumumkan kedudukan dan jawatan beliau sebagai pengarah AS Roma.
Totti yang berusia 40 tahun sebelum ini turut ditawarkan untuk menyertai sebuah kelab Jepun, Tokyo Verdy. Namun kali ini, Totti mengesahkan beliau akan membuka lembaran baru dengan kelab yang beliau sertai hampir keseluruhan hidupnya.
“Bahagian pertama kehidupan saya ialah untuk menjadi pemain bola sepak sudah pun berakhir. Kini adalah fasa yang seterusnya, punyai kepentingan yang sama iaitu sebagai pengarah kelab,”
“Saya berharap saya mampu memberikan kesan yang sama seperti saya lakukan di atas padang sebelum ini,” kata Totti seperti yang dipetik daripada laman sesawang rasmi AS Roma.
“Bola sepak ialah apa yang saya cintai, ia adalah segalanya. Ia adalah tanda persahabatan, menjaringkan gol dan mengenali ramai orang. Ia sangat menyentuh saya secara peribadi.”
Pada Mei lalu, Totti beraksi dalam perlawanan terakhir bersama AS Roma, di mana beliau melakukan debut pada usia 16 tahun pada 1993.
Totti muncul dari bangku pemain simpanan di Stadio Olimpico dalam kempen yang menyaksikan Giallorossi menempah slot ke pertandingan UEFA Champions League pada musim hadapan.
Francesco Totti menambah lagi:
“28 Mei 2017 adalah hari yang sangat bersejarah buat saya. Saya akan sentiasa mengingatinya. Sukar untuk menjelaskan emosi yang ada pada diri saya pada hari tersebut.”
“Saya rasa ia adalah jelas bahawa saya tidak mahu perlawanan terakhir seperti itu. Saya tidak mahu hari seperti itu untuk tiba dan berakhir. Ia terlampau emosi buat saya.”
“25 tahun sejarah AS Roma di dalam hari tersebut. Padang di stadium itu telah memberi banyak erti kepada saya dan saya juga cuba memberi banyak perkara kepada mereka yang berada di kelab ini, mereka yang memberi dan menunjukkan kasih kepada saya setiap hari.”
“Itu adalah tugas utama saya sebelum ini. Kini saya punya peranan yang berbeza tetapi dengan jiwa dan minda yang sama atau mungkin lebih lagi selepas pengalaman bergelar pemain bola sepak. Saya mempunyai peluang untuk berterima kasih dengan menyumbang kembali.”
“Saya memulakan kembali dengan pengembaraaan yang baru. Sebelum ini saya mengambil masa untuk memikirkannya, untuk refleksi, langkah demi langkah, dengan penuh ketenangan, bagi memahami peranan terbaik untuk saya bersama AS Roma.”
“Saya akan memberi sehabis baik mungkin untuk setiap individu di kelab ini. Dari peringkat akademi sehinggalah kepada presiden. Saya jangkakan masa depan yang indah dan berjaya.”
“Saya memilih peranan yang sesuai supaya saya boleh membantu menjadi sebuah pasukan yang bagus, juga sebuah kelab yang hebat, ” ujar Francesco Totti menutup bicara.
Sumber:
1. Ben Gladwell, ESPN FC (2017): Francesco Totti confirms retirement, accepts offer as club director at Roma; http://www.espnfc.com/as-roma/story/3159323/francesco-totti-confirms-retirement-and-accepts-offer-to-be-club-director-at-roma