Format Piala Belia & Presiden Perlu Dikaji Semula

Format pertandingan Piala Belia dan Presiden kini wajar dikaji semula bagi memastikan barisan pemain muda tempatan mempunyai minit perlawanan kompetitif yang mencukupi.

Jika berlandaskan format pertandingan kini, hanya pasukan yang layak ke peringkat suku akhir dalam saingan kalah mati akan beraksi lebih daripada tempoh enam hingga tujuh bulan setahun.

Bagi pasukan yang gagal melangkah jauh, barisan pemain mereka hanya akan beraksi selama enam bulan semusim.

Kebanyakan daripada pemain ini, akan membuat kerja lain seperti menjadi pemandu atau penghantar Grab.

Bagi mereka yang menyambung pelajaran ke universiti atau kolej swasta, sudah pasti tumpuan kembali terarah kepada bidang akademik dan tidak mustahil mereka ini tidak lagi menyambung cita-cita dalam bola sepak.

Dalam pada itu, pasukan yang layak ke peringkat kalah mati dalam saingan Piala Belia dan Piala Presiden pula hanya beraksi dalam saingan kompetitif selama sembilan bulan, hanya beza dua bulan dengan pasukan yang gagal layak.

Bagi Presiden Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM) Safee Sali, beliau berharap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengkaji kemungkinan untuk mewujudkan format pertandingan yang lebih kompetitif buat saingan Piala Belia dan Presiden.

“Saya faham sudah dua musim kita tidak dapat melangsungkan saingan Piala Belia dan Piala Presiden, jadi mungkin waktu agak suntuk buat FAM merangka format baru untuk musim ini.

“Tapi saya berharap mereka dapat mencari format pertandingan yang lebih menyeluruh buat pemain-pemain muda tempatan di masa hadapan. Sebagai pemain yang baru nak melangkah ke kancah profesional, mereka memerlukan aksi kompetitif yang mencukupi dalam semusim.

“Jika hanya beraksi enam bulan semusim, ia mungkin akan membuatkan mereka berasa bola sepak tidak menjanjikan pulangan yang diharapkan dan sudah pasti tumpuan mereka akan terarah kepada mencari kerja lain,” kata Safee.

Selain daripada memastikan pemain mempunyai perjalanan karier yang sempurna dalam saingan Piala Belia dan Piala Presiden, format pertandingan yang lebih kompetitif mampu memberi pentas yang sesuai buat graduan-graduan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) beraksi.

Tidak kesemua pemain graduan AMD akan mudah meraih tempat dalam skuad utama pasukan di Liga-M, justeru saingan lebih kompetitif untuk Piala Belia dan Piala Presiden mampu menjadi persediaan terbaik buat mereka.

Barisan B-19 negara sudah pun menjuarai saingan Piala AFF B-19 buat kali keempat baru-baru ini dan sudah pasti kita mahu adanya kesinambungan buat barisan muda negara selepas ini.

Pelbagai format pertandingan boleh diterapkan bagi memastikan saingan lebih kompetitif, antaranya dengan mengadakan saingan dua divisyen atau adakah hanya satu kumpulan yang merangkumi kesemua 18 pasukan.

Sebuah pertandingan kalah mati mirip Piala FA juga boleh diadakan selain mungkin lapan pasukan teratas mara ke peringkat kalah mati untuk merebut Piala Belia/Presiden.

Selain itu, mungkin sebuah pertandingan buat pasukan yang gagal ke peringkat kalah mati juga boleh diwujudkan untuk memastikan setiap pemain mendapat minit perlawanan mencukupi.

Namun, jika format pertandingan seperti ini diadakan sudah pasti ia memerlukan tambahan kos buat setiap pasukan bagi menampung perbelanjaan skuad Piala Belia dan Piala Presiden.

Jadi bukan saja FAM perlu mendapatkan tajaan berbentuk wang ringgit jika format pertandingan berubah, tetapi juga setiap pasukan yang bertanding dalam saingan Piala Belia dan Piala Presiden.

Memang ia lebih mudah untuk kita mencadangkan berbanding pasukan-pasukan yang terpaksa berusaha keras mendapat wang tajaan.

Namun, ini adalah untuk pembangunan dan suka atau tidak, ia harus menjadi keutamaan setiap pasukan Liga-M.

Pembangunan memang memerlukan perbelanjaaan wang ringgit dan hasilnya pula bukan segera, kerana ia hanya dapat dilihat dalam tempoh beberapa tahun.

Mungkin setiap pemegang taruh dalam bola sepak Malaysia perlu mengubah minda pemikiran mereka, jika benar kita mahu menjadi kuasa besar bola sepak.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN