Siapa di sini minat dengan permainan Football Manager?
Kali ini mereka tampil dengan ciri-ciri baharu yang akan berikan anda pengalaman menguruskan pasukan lebih hebat berbanding siri-siri Football Manager sebelum ini.
Pengalaman perlawanan (match experience)
Football Manager 2017 (FM17) tampil dengan lebih segar dari segi pengalaman hari perlawanan. Kali ini FM17 ditambah dengan animasi para pemain masuk ke padang sebelum perlawanan serta memanaskan badan sebelum perlawanan.
FM17 juga dilengkapi dengan sudut kamera di belakang gol yang baharu iaitu “Behind Goal Low”. Kamera tersebut membolehkan pemain melihat perlawanan dari belakang gol sama seperti penonton yang menonton dari teres tepi stadium.
FM17 juga dilengkapi dengan ciri semburan penyembur (vanishing spary) ketika situasi bola mati dan akan hanya ada satu pemain sahaja yang akan melakukan sepak mula.
Animasi FM17 kini ditambah dengan 1,500 animasi baharu. Pengadil juga semakin bijak dengan pemain tidak akan dikenakan kad merah mandatori jika melakukan bentesan minit akhir yang menafikan peluang gol.
Media sosial
FM17 kini dilengkapi dengan tab media sosial. Di tab ini, pengurus boleh melihat cerita-cerita terkini yang terhangat di media sosial.
Dari tab tersebut pengurus boleh dapatkan khabar angin terkini mengenai perpindahan, pendapat peribadi pemain yang diluahkan di laman media sosial mereka serta pendapat penyokong mengenai cerita-cerita terkini.
Jika terdapat berita terbaru seperti sebuah kelab sah menandatangani satu-satu pemain, berita tersebut akan muncul di tab media sosial. Ia juga akan disertakan dengan hashtag yang bersesuaian dengan berita.
Perpindahan dan kontrak
Jendela perpindahan adalah tempoh yang paling disukai pemain FM. Untuk FM17, pembelian akan menjadi lebih mencabar.
Jika pengurus ingin mendapatkan pemain pada hari terakhir jendela perpindahan, pengurus kini boleh mendapatkan pemain tersebut secara pinjaman dengan pilihan untuk membeli terus pemain tersebut ketika tempoh pinjaman telah tamat.
Rundingan kontrak juga semakin menarik. Perbualan pra-kontrak kini mempunyai lebih banyak pilihan jika pengurus itu cuba memujuk pemain yang tidak berminat menyertai kelab mereka.
Pengurus boleh memberikan janji kepada pemain tersebut seperti memberikan kenaikan gaji yang tinggi ataupun memberikan pemain tersebut posisi dan tugas yang paling digemarinya.
Kini di FM17, pengurus juga boleh mengikat kontrak dengan kelab baharu lebih awal. Ini boleh dilakukan ketika musim sedang berlangsung dan pengurus hanya mahu meninggalkan kelab semasanya selepas tamat musim.
Avatar pengurus
FM17 kini dilengkapi dengan teknologi face-gen yang membolehkan pengurus memuatnaik gambar mereka sendiri ke dalam FM17 untuk dijadikan sebagai wajah avatar pengurus.
Kini pengurus juga mempunyai lebih banyak pilihan dalam mencorakkan sut dan tali leher mereka mengikut warna kegemaran.
Menariknya, avatar pengurus ini akan menghiasi menu utama FM17.
Brexit
Semua tahu yang United Kingdom akan keluar dari Kesatuan Eropah (EU). Di dalam FM17, Brexit akan memainkan peranan penting dalam permainan ini.
Jika anda menguruskan pasukan dari England misalnya, jika anda ingin membeli pemain dari negara luar. Pemain tersebut perlu mendapatkan permit kerja walaupun pemain itu dari benua Eropah.
Tetapi andai pemain tersebut sudah pun bermain di England, pemain tersebut tidak perlukan permit kerja. Sebaliknya pemain tersebut akan diberikan taraf “bukan penduduk luar”.
Ini pastinya akan memberikan lebih kesukaran untuk membeli pemain. Kerana tidak setiap masa permit kerja ini mudah didapati.
Laporan scout dan staf baharu
Laporan mengenai pasukan lawan kini lebih terperinci berbanding sebelum ini.
Kali ini, scout akan menyediakan laporan bagaimana pasukan lawan itu bermain. Selain itu, data pemain paling bahaya dalam pasukan tersebut serta pemain lemah dalam pasukan tersebut juga akan disediakan.
Dalam FM17, selain daripada jurulatih, scout serta ahli fisioterapi. Akan ada dua staf baharu iaitu penganalisis data dan pakar sains sukan.
Penganalisis data akan memberikan data kepada pengurus pada sebelum dan selepas perlawanan. Ini akan memberikan maklumat mengenai prestasi pemain yang beraksi.
Selain itu, pakar sains sukan pula akan membantu ahli fisioterapi dengan memberikan cara untuk mengelakkan masalah kecederaan dari sering berlaku.
Taktikal
Untuk FM17, pengurus akan lebih mudah dalam mencipta taktik.
Sebagai contoh, scout akan berikan terus senarai pemain yang sesuai untuk beraksi di satu-satu posisi dan tugas.
Di bahagian taktikal juga, staf jurulatih akan memberikan nasihat mengenai taktikal yang sesuai untuk digunakan dalam pasukan.
Baca juga: 7 Pemain Yang Ditangkap ‘Kantoi’ Bermain Football Manager