Quantcast

LIGA MALAYSIA

FMLLP: “Geran Tahunan Dibayar Rabu, Pasukan Didenda Tak Akan Dapat Penuh”

10 pasukan yang dikenakan denda oleh FMLLLP kerana lewat menghantar dokumen pendaftaran tidak akan mendapat geran tahunan penuh daripada FMLLP.

Angka tersebut akan ditolak secara automatik, RM1.5 juta untuk pasukan Liga Super dan RM500,000 untuk pasukan Liga Premier. Kevin Ramalingam menyatakan, pembayaran geran tahunan itu akan diberikan pada Rabu ini.

“Pasukan MSL dan Liga Premier akan menerima geran tahunan mereka Rabu ini. Tetapi untuk pasukan yang kena denda, mereka tidak akan menerima bayaran penuh.”

“Contohnya Selangor, mereka hanya akan mendapat RM1.5 juta daripada RM3 juta selepas ditolak dengan denda.”

“Namun begitu, kami akan tetap membayar jumlah baki itu kepada mereka, jika ada pasukan yang membuat rayuan dan penjelasan rayuan itu diterima.”

Sebelum ini FMLLP umumkan 10 pasukan yang gagal menghantar dokumen berdasarkan tarikh ditetapkan adalah Kelantan, Kuala Lumpur, PKNS dan Selangor untuk Liga Super.

Manakala untuk Liga Premier pula melibatkan Kuantan FA, MIFA, Pulau Pinang, PDRM, Sarawak dan UKM FC.

Kevin ada mendengar beberapa pasukan mahu menarik diri daripada Liga M kerana denda yang dikenakan dikatakan terlalu tinggi. Beliau menyatakan, FMLLP tidak tunduk dengan ugutan tersebut.

“Buat masa ini, tiada pasukan yang menghantar permohonan rasmi untuk menarik diri. Dan mereka harus bertanggungjwab kepada penyokong dan pemain mereka di atas tindakan yang dibuat oleh seorang atau dua orang dalam organisasi mereka.”

“Tidak adil untuk menarik diri daripada bermain hanya kerana kesilapan dilakukan oleh seorang atau dua individu.”

“Ada yang berkata, denda terlalu tinggi. Sebelum ini tiada orang yang ambil serius apabila kita hanya memotong mata. Sekarang, apabila kita melaksanakan denda sebegini, barulah semua orang ambil kisah.”

“Tanpa tindakan tegas, mereka tidak akan mengubah sikap mereka.”