Bekas pemain pertahanan Sao Paulo, Flavio Donizete mengakui ketagihan kokain yang dialami telah menyebabkan beliau terpaksa menjual medal Piala Dunia Kelab FIFA 2005 untuk memenuhi kehendaknya itu.
Donizete diberikan peluang untuk menyertai kem tersebut pada saat-saat akhir selepas beliau menggantikan Leandro Bonfim yang mengalami kecederaan.
Beliau bagaimanapun hanya diletakkan di bangku simpanan pada kedua-dua perlawanan yang dihadapi oleh wakil dari Brazil itu.
Sao Paulo mencipta sejarah muncul juara saingan tersebut buat pertama kali selepas berjaya menundukkan Liverpool dengan keputusan 1-0 hasil jaringan tunggal pada minit ke-27 yang dicipta oleh pemain tengah, Mineiro.
Meskipun tidak beraksi, medal tersebut sudah pastinya memberikan makna cukup besar dalam karier Donizete tetapi pada ketika itu, terdapat perkara lain yang lebih penting buat beliau sehingga terpaksa menjual salah satu dari lambang kebanggaan dalam kariernya.
”Saya menjualnya untuk membeli dadah. Saya jual dengan harga 7,000 reais (lebih kurang RM5,707),” ujar Donizete menurut laporan dikeluarkan Goal.
”Apabila saya menjualnya dan berjaya mendapatkan wang, saya akan habiskan hampir kesemua wang tersebut untuk membeli kokain. Penghantaran pertama adalah 1,000 reais.”
Former Sao Paolo star, Flavio Donizete has opened up about how cocaine addiction wrecked his once promising career.
He’d revealed that the Club World Cup medal he won in 2005 was sold and used to buy drugs.
He’s drug free now, but has quit professional footbal.#SayNoToDrugs pic.twitter.com/BmQrtceK5F
— MOLATsportgist ™?? (@Molatsportgist) May 24, 2020
”Saya menggunakannya dalam masa dua hari. Semakin banyak wang saya miliki, semakin banyak dadah yang saya mahukan.”
”Setelah saya mengenali kokain, saya telah hilang segala-galanya. Kerana pada mulanya saya merupakan pengguna sederhana. Sehinggalah kokain menjadi sangat penting dalam hidup saya, saya telah hilang segala yang saya miliki.”
”Semua wang saya digunakan untuk membeli dadah. Saya tidak boleh biarkan diri saya tanpa pengaruh dadah. Pagi, tengah hari dan petang, saya akan mengambil kokain.”
”Semua wang saya dalam akaun bank, harta benda, saya mula kehilangannya. Saya kehilangan segalanya kecuali isteri, anak perempuan dan keluarga, di mana mereka masih bersama saya sehingga ke hari ini.”
”Sesalan terbesar dalam hidup saya adalah mencuba kokain. Ia sememangnya menghancurkan saya,” tambah Donizete lagi.
Sumber Goal turut mengatakan beliau yang kini berusia 36 tahun sudah pun bebas dari sebarang penggunaan dadah dan bekerja sebagai tukang kebun di Americana, sebuah kawasan pedalaman di Sao Paulo.