Pemain pertahanan hanyalah satu pilihan jika pasukan anda mempunyai keupayaan permainan menyerang seperti yang ditampilkan oleh Liverpool dalam perlawanan menentang Brighton & Hove Albion di Stadium The American Express Community pada malam tadi.
Sebelum perlawanan, skuad kendalian Juergen Klopp dilaporkan mengalami krisis pemain pertahanan tengah, akibat daripada kecederaan.
Tiada kelibat Joel Matip. Begitu juga Ragnar Klavan atau pun Joe Gomez. Tetapi ia bukan masalah buat Liverpool. Brighton terkulai selepas mereka berhadapan dengan unit serangan Liverpool yang memperagakan aksi menyerang yang cukup mengkagumkan.
Jika sepanjang November lalu menyaksikan penyerang antarabangsa Mesir, Mohamed Salah diangkat sebagai wira di kalangan penyokong tegar The Kops, kali ini wira Liverpool beralih ke Amerika Selatan.
Rentak Brazil dipersembahkan oleh Roberto Firmino dan juga Philippe Coutinho menyimpulkan Liverpool bukan sebarangan lawan jika kedua-dua pemain ini berada pada tahap aksi terbaik.
Selepas tandukan Emre Can memberi gol pendahuluan selepas 30 minit perlawanan, Firmino menyudahkan 2 serangan balas pantas pada setiap babak permainan.
Brighton cuba bangkit selepas pengadil perlawanan Graham Scott menganugerahkan sepakan penalti untuk Glenn Murray merapatkan kedudukan kepada 1-3.
Namun demikian Coutinho menyimpulkan persembahan menakjubkan pada malam tersebut dengan satu jaringan bijak daripada sepakan percuma dari luar kotak penalti untuk memberikan kelebihan 3 gol kembali kepada Liverpool.
Malam gemilang Liverpool turut dilengkapkan sendiri oleh Coutinho dengan bantuan pemain pertahanan Brighton, Lewis Dunk.
Pemain lincah yang turut dikaitkan dengan perpindahan ke Barcelona sejak jendela perpindahan yang lalu ini melarikan bola dari tengah padang, sebelum melakukan percubaan yang terbias dari badan pertahanan tengah Brighton itu untuk melengkapkan kemenangan 5-1 Liverpool.
Liverpool telah membuktikan mereka boleh beraksi dan menang tanpa kehadiran Coutinho pada musim ini.
Namun prestasi yang ditampilkan oleh pemain berusia 24 tahun itu pada malam tadi adalah sebab utama mengapa pemilik The Kops enggan melayan permintaan Barcelona pada jendela perpindahan yang lalu.
Bagi yang ketinggalan daripada menonton perlawanan pada malam tadi, anda boleh menonton sorotan perlawanan melalui video di bawah.