Penjaga gol muda Negeri Sembilan, Firdaus Irman ketika ini menjadi tumpuan baharu buat pasukan tersebut, selepas pemain ini menampilkan kualiti cukup menyakinkan setiap kali diberi kepercayaan beraksi.
Malah, kelibat Firdaus juga sangat mencuri tumpuan ketika perlawanan membabitkan Negeri Sembilan bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) setelah ketangkasannya banyak menyelamatkan Negeri Sembilan.
KENALI PEMAIN #1
Kem Latihan Pusat Fasa 2 Skuad Kelayakan Piala Asia B-23 2022 | 4-20 Oktober 2021
MUHAMMAD FIRDAUS IRMAN MOHD FADHIL
Penjaga Gol#FAM #HarimauMalaya #AFCU23 pic.twitter.com/zcIsiDFDVE— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) October 5, 2021
Penampilannya yang semakin baik itu kini turut mendapat reaksi positif dalam kalangan para penyokong Hoben Jang Hoben, selepas ada turut mengakui Firdaus bakal mengikut jejak langkah bekas penjaga gol pasukan tersebut, Ahmad Syihan Hazmi.
Untuk aksi seterusnya bertemu JDT sekali lagi bagi suku akhir kedua Piala Malaysia 2023, kelibat Firdaus pastinya ditagih sekali lagi selaku penjaga gol utama untuk memastikan gawang Negeri Sembilan tampil lebih kebal.
Malah, pemain berusia 22 tahun itu juga memasang tekad untuk mempamerkan prestasi lebih positif bagi mengelakkan gawang gol dikawalnya dibocori pasukan lawan.
“Saya akan berusaha mengekalkan persembahan terbaik dan mahu memastikan gawang pasukan tidak bocor pada perlawanan suku akhir kedua, 23 September nanti,” kata penjaga gol berbakat tersebut menerusi laporan Harian Metro.
Pada masa sama, Firdaus juga menyatakan beliau akan memberi persembahan lebih baik berbanding aksi lalu walaupun menyedari cabaran besar bakal dihadapi dirinya nanti pada perlawanan tersebut.
“Fokus utama saya adalah untuk mempertahankan gawang pasukan daripada dibolosi pemain lawan. Soal menang atau kalah itu perkara kedua kerana JDT sudah memiliki kelebihan hasil kemenangan 3-0 pada aksi suku akhir pertama tempoh hari.
“Saya yakin dan percaya, semua pemain akan memberikan kerjasama dan berusaha memberikan persembahan terbaik untuk membantu pasukan mencipta kejutan walaupun beraksi di tempat lawan,” katanya lagi.
Pemain kelahiran Pulau Pinang itu turut menyifatkan pujian daripada pengendali pasukan iaitu K. Devan yang menyatakan Firdaus mempunyai potensi untuk mengikuti jejak langkah Syihan sebagai pembakar semangat.
Malah, penjaga gol muda itu turut menganggap pandangan tersebut sebagai suatu sumber inspirasi untuk mencapai cita-cita selaku penjaga gol kebangsaan suatu hari nanti dengan positif.
A PROMISING NATIONAL YOUTH PLAYER, FIRDAUS IRMAN 🟡⚫🔴
Penjaga gol pasukan B-23 kebangsaan, Firdaus Irman, sah bersama skuad Jang 💪💪#HereWePoie#NSFC2023#HobinJangHobin pic.twitter.com/Ge3aSI15RG
— Negeri Sembilan Football Club (@nsfc1923) January 14, 2023
“Saya menyifatkan pandangan Devan itu sebagai sesuatu yang positif dan akan terus berusaha menimba ilmu serta meningkatkan prestasi dalam setiap persembahan.
“Menjadi keutamaan saya untuk memastikan setiap tugasan dapat dilaksanakan dengan cemerlang bagi menjulang nama pasukan,” katanya akhir sekali.