Kuala Lumpur (KL) City terus cemerlang dalam kempennya di pentas Asia apabila mencatat kemenangan bergaya 5-2 ke atas kelab Indonesia, PSM Makassar dalam aksi final Piala AFC Zon Asean yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Romel Morales berpeluang untuk meletakkan KL City di hadapan pada minit ke-14 tetapi percubaan jarak dekatnya diselamatkan penjaga gol Reza Pratama dan sepakan susulan Zhafri Yahya pula melewati palang gol.
Enam minit kemudian, KL City mendapat tiga peluang berturut-turut, dua menerusi Romel Morales dan sepakan dari luar kotrak penalti oleh Akram Mahunan, tetapi barisan pertahanan PSM Makassar cemerlang untuk mematahkan setiap percubaan.
Usaha berterusan KL City akhirnya terbayar dengan gol pembukaan perlawanan pada minit ke-34 apabila Romel Morales yang menerima bola dari tandukan ke belakang Zhafri Yahya melepaskan rembatan kencang untuk menewaskan Reza Pratama.
Ketika aksi separuh akhir menuju ke penghujung, KL City memanfaatkan sepenuhnya serangan balas pantas untuk menggandakan kelebihannya dengan jaringan Jordan Mintah.
Memasuki babak kedua, skuad ibu kota itu terus bernafsu untuk menambah dengan dua percubaan awal dan kemudian dianugerahkan sepakan penalti apabila Zhafri Yahya dijatuhkan oleh Rizky Pratama.
Kapten pasukan Paulo Josue tiada masalah untuk menterjemahkan peluang tersebut bagi mengukuhkan kedudukan KL City dengan gol ketiga pada minit ke-52.
Bagaimanapun pada minit ke-57, PSM Makassar kembali menghidupkan semula perlawanan dengan gol pertamanya menerusi rembatan kencang Yakub Sayuri dari luar kotak penalti.
Lima minit kemudian, kelekaan barisan pertahanan KL City sekali lagi membawa padah selepas pasukan pelawat berjaya merapatkan kedudukan dengan gol kedua hasil tandukan Akbar Tanjung yang menyambar hantaran dari sepakan penjuru Rasyid Bakri.
Namun KL City kembali berbisa dengan gol keempat ketika perlawanan berbaki lima minit selepas Paulo Josue yang mendapat bola muntah dari tepisan Reza Pratama bijak memperdayakan penjaga gol lawan itu untuk meledak jaringan kedua peribadinya.
Hadin Azman melengkapkan kemenangan bergaya KL City dengan gol kelima dengan gol menerusi penalti pada masa kecederaan.