Mara ke perlawanan akhir Piala AFC Zon Asean pastinya satu pencapaian yang cukup membanggakan buat Kuala Lumpur (KL) City. Namun ia belum tentu dapat menarik para penyokong untuk hadir memberi sokongan di stadium.
Berdasarkan jumlah penonton dalam dua perlawanan peringkat kumpulan sebelum ini, kelihatan tidak lebih 2,000 orang penyokong yang berada di tempat duduk Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur meskipun pasukan tersebut diberikan kelebihan selaku tuan rumah.
Situasi tersebut jauh berbeza berbanding final kejohanan Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada tahun lalu yang menyaksikan puluhan ribu penyokong memberikan sokongan padu kepada KL City sehingga mampu mencipta kejutan ke atas pasukan gergasi Johor Darul Ta’zim (JDT).
Tahniah! @KLCityFootball menjulang Piala Malaysia edisi ke-100 selepas menewaskan JDT 2-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.#PialaMalaysia pic.twitter.com/YZ0NasKvir
— Twt_BukitJalil 🏟 (@twt_bukitjalil) November 30, 2021
Dalaml perlawanan yang dijadualkan pada 24 Ogos ini, skuad kendalian Bojan Hodak itu bakal membuat perhitungan dengan kelab Indonesia, PSM Makassar bagi menentukan wakil zon rantau Asia Tenggara yang akan mara ke pusingan seterusnya.
Mengenai harapan KL City untuk mencipta kemenangan, jurulatih warga Croatia ini lebih optimis dengan peluang yang dimiliki oleh pasukannya berdasarkan kelebihan selaku tuan rumah.
“Peluang? Bukan 50 – 50, tapi 51 – 49 kerana kami beraksi di tempat sendiri,” ujar Bojan ketika sidang media selepas perlawanan Liga Super menentang Negeri Sembilan yang menyaksikan pasukannya menang 1-0 di tempat sendiri.
JUMPA DI FINAL, WARGA KOTA 🔴⚪️ pic.twitter.com/90S868DJRP
— Kuala Lumpur City Football Club (@KLCityFootball) August 10, 2022
“Namun saya harap kita dapat beraksi di stadium yang penuh kerana [perlawanan peringkat kumpulan0 sebelum ini penyokong PSM lebih ramai. Jadi saya harap aksi final ini kita mendapat jumlah penyokong yang lebih baik.”
Sekiranya KL City menang ke atas lawan dari Indonesia tersebut, mereka bakal mendapat laluan terus ke Final Play-off Inter-Zon selepas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengesahkan penggantungan Persekutuan Bola Sepak Seluruh India (AIFF).
Pengumuman tersebut telah memberi kesan kepada penyertaan kelab dari negara itu yang beraksi di Piala AFC, ATK Mohun Bagan yang dijadukan bertemu juara Zon Asean dari separuh akhir, iaitu pemenang di antara KL City dan PSM Makassar.
‘Rezeki Terpijak’ – Ini Antara Kesan Penggantungan AIFF Kepada KL City
Maka dengan itu, pastinya KL CIty mengharapkan penyokongnya hadir membanjiri stadium pada Rabu depan untuk memahat sejarah baharu dalam sejarah bola sepak ibu kota.