Barcelona memenangi trofi Champions League untuk kali ke-5 selepas menewaskan Juventus 3-1 dalam perlawanan yang menarik semalam.
Kesebelasan utama
Kesebelasan utama Barcelona pilihan Luis Enrique tidak pernah berubah melainkan ada kecederaan. Dalam final ini, Barcelona tiada pemain yang cedera. Jadi, Enrique membariskan kesebelasan utamanya yang biasa.
Giorgio Chiellini terpaksa diketepikan kerana kecederaan dan seperti yang dijangka, Andrea Barzagli menggantikan tempatnya. Di lain-lain posisi, Max Allegri tidak membuat apa-apa perubahan.
4-3-3 vs 4-3-1-2
Perlawanan ini bukan sahaja menarik bukan sahaja dari aspek kualiti pemain yang terlibat, malah dari aspek taktikal.
Barcelona sinonim dengan formasi 4-3-3 manakala Juventus pula sinonim dengan formasi 4-3-1-2 (atau 4-4-2 diamond) di bawah kendalian Max Allegri.
Dari segi teori, pemain yang bakal mempunyai pengaruh besar adalah dua bek kiri dan kanan Barcelona – Jordi Alba dan Daniel Alves. Kedua-dua pemain ini tiada lawan langsung (direct opponent) kerana formasi 4-3-1-2 yang digunakan Juventus.
Dan inilah yang berlaku semalam.
Selain Lionel Messi, Alba dan Alves adalah 2 pemain yang paling banyak menerima bola.
Juventus bertahan dalam bentuk 4-4-2
Untuk mengatasi kelemahan formasi 4-3-1-2 ini, Max Allegri mengarahkan anak buahnya bertahan seperti formasi 4-4-2.
Paul Pogba menjadi pemain tengah paling ke kiri dan ditugaskan untuk merantai pergerakan Daniel Alves. Manakala, Claudio Marchisio menjadi pemain tengah paling ke kanan dan ditugaskan untuk merantai pergerakan Jordi Alba.
Arturo Vidal pula diarahkan turun untuk membantu Andrea Pirlo di tengah padang.
Dalam erti kata lain:
- apabila Juventus mempunyai bola, mereka bermain dalam formasi 4-3-1-2
- apabila Juventus kehilangan bola, mereka bertukar ke formasi 4-4-2
Pelan serangan Barcelona
Kekuatan serangan Barcelona datang daripada gabungan dua perkara: (i) kelajuan transisi serangan mereka dari sayap kanan ke sayap kiri dan (ii) larian penetrasi daripada Alba, Alves dan Luis Suarez.
Kelajuan transisi serangan Barcelona
Semua orang tahu Barcelona gemar memegang penguasaan bola dengan hantaran pendek. Dan seperti pasukan lain yang pernah menentang Barcelona, Max Allegri mengarahkan anak buahnya mengekalkan bentuk kompak (compact) untuk bertahan.
Untuk merobek pertahanan Juventus yang kompak, Barcelona melajukan transisi serangan mereka dari sayap kanan ke sayap kiri. Jika sayap kanan sesak, mereka akan cepat-cepat memindahkan bola ke sayap kiri pula. Begitu juga sebaliknya jika sayap kiri sesak.
Taktikal sama juga dilakukan oleh Real Madrid ketika separuh akhir kedua di Bernabeu menentang Juventus. Mereka melakukannya dengan khidmat Toni Kroos untuk memindahkan bola dari sayap lain ke sayap yang lain.
Barcelona pula melakukannya dengan:
(i) hantaran diagonal Messi kepada Alba seperti yang berlaku dalam gol pertama Barcelona ini:
(ii) atau pertukaran hantaran satu-dua seperti ini:
Salah satu punca dominasi Barcelona pada separuh masa pertama adalah – kelajuan transisi serangan Barcelona dari satu sayap ke sayap yang lain LEBIH LAJU DARIPADA pertukaran 4-3-1-2 ke 4-4-2 yang dilakukan oleh pemain Juventus.
Inilah yang terjadi dalam buid-up gol pertama Barcelona. Belum sempat Juventus bertukar ke formasi 4-4-2 (setelah kehilangan bola), Messi sudah memindahkan bola ke Alba yang tidak dikawal oleh Marchisio.
Larian penetrasi Suarez
Penguasaan bola Barcelona tidak bermakna jika mereka tidak mempunyai pemain yang menawarkan larian penetrasi. Di sinilah pentingnya peranan Luis Suarez.
Dengan Messi dan Neymar gemar membawa bola dari kawasan sayap ke tengah (cut/drift inside), tugas Suarez adalah mengisi kekosongan yang ditinggalkan Messi dan Neymar supaya keluasan (width) Barcelona dapat dikekalkan.
Larian Suarez banyak menimbulkan masalah kepada pertahanan Juventus. Beliau tidak boleh dirantai kerana sentiasa berada di merata-rata tempat!
Dalam perlawanan semalam, bukan Suarez sahaja yang menawarkan larian penetrasi. Iniesta melakukannya dalam build-up gol pertama Barcelona.
Alves melakukannya dalam situasi ini.
Busquet juga melakukannya seperti yang berlaku situasi ini!
Pelan serangan Juventus
Pelan serangan Juventus pula lebih ringkas.
Juventus bertahan secara berkumpulan di kubu sendiri (deep defending) sebelum merampas bola dan melancarkan serangan melalui hantaran panjang kepada Carlos Tevez dan Alvaro Morata.
Tetapi hantaran panjang mereka kerap dipintas dengan cemerlang oleh Gerard Pique yang bertindak sebagai stopper dan Javier Mascherano sebagai covering defender sebelum sempat singgah ke kaki Tevez dan Morata.
Barisan tengah dan serangan Barcelona juga rajin melakukan counter-pressing untuk memaksa Juventus melakukan kesilapan semasa mereka memegang bola.
Hanya 126 daripada 173 hantaran serangan (Hantaran ke hadapan sahaja. Hantaran pendek ke tepi dan ke belakang tidak dikira) Juventus berjaya dilakukan. Juventus hanya melengkapkan 72.8% hantaran serangan mereka.
Arkitek serangan Juventus, Pirlo pula hanya melengkapkan 70.6% hantaran serangannya.
Dengan strategi ini, Juventus tetap mempunyai tempoh penguasaan. Cuma ia hanya bertahan selama 10 minit pada separuh masa kedua selepas gol penyamaan mereka.
Ancaman set-pieces Juventus
Bagi sebuah pasukan yang hanya mempunyai 3 pemain yang mempunyai ketinggian lebih 6 kaki (Pique, Rakitic dan Busquet), Barcelona menangani bahaya set-piece dengan cemerlang. Dan mereka nampak seperti sudah menjangka dari awal dan sudah berlatih menangani bahaya set-pieces Juventus.
Bukan sahaja berjaya mematahkan sebarang sepakan percuma dan sepakan sudut Juventus, mereka juga nampak seperti sudah menyusun pelan serangan balas selepas itu.
Barcelona kerap kali berjaya melancarkan serangan balas selepas mematahkan set-pieces Juventus.
Gol kedua – walaupun bukan berasal dari set-pieces Juventus – adalah gol serangan balas yang klasik. Begitu juga dengan gol Neymar yang dibatalkan pengadil.
Dalam satu situasi pada minit 77′, sepakan sudut Juventus yang berjaya dipatahkan menghasilkan peluang serangan balas 5v2 untuk Barcelona.
Akhirnya, Barcelona berjaya menuai hasil latihan mereka apabila sepakan percuma Juventus dipatahkan dan menghasilkan situasi 3v2 untuk gol ketiga Barcelona.
Kesimpulan
Jika anda masih ingat pada Januari 2015 yang lepas, Barcelona bergelut di bawah kendalian Luis Enrique.
Mereka tewas 0-1 kepada Real Sociedad yang baru diambil alih David Moyes, Andoni Zubizarreta dipecat dan Carles Puyol meletak jawatan. Tak cukup dengan itu, media Sepanyol kecoh mengatakan Luis Enrique dan Lionel Messi bergaduh.
Keadaan menjadi lebih buruk apabila Lionel Messi mula follow akaun Instagram Thibaut Courtois, Felipe Luis, Cesc Fabregas dan Chelsea. Kemudian, timbul pula ura-ura Messi akan menyertai Chelsea (tiada berita paling merepek selain berita ini).
5 bulan kemudian (hari ini), Barcelona sudah menjuarai La Liga, Copa del Rey dan Champions League. Apa yang menariknya, semua kejayaan ini hadir selepas eksperimen Enrique di posisi bek kanan dan bek tengah selesai. Dan sudah tentulah – setelah Luis Suarez kembali.
Baca juga: 7 Perkara Yang Anda Perlu Tahu Untuk Memahami Krisis Barcelona Dari A Sampai Z
Sumber: UEFA, The Guardian Football, Four Four Two Statszone
LIKE dan FOLLOW SemuanyaBola di Facebook serta Twitter