Filippo Inzaghi nama yang meniti bibir peminat bola sepak terutama sekali pada era kegemilangan AC Milan bersama Ancelotti.
Pernahkah anda berkata:
“Inzaghi ni sebenarnya pemain yang teruk, menggelecek tak boleh, fizikal lemah, berlari lambat.”
Anda jangan risau kerana memang itulah hakikat yang harus ditelan oleh Filippo Inzaghi. Jika anda ingat cara beliau di dalam padang, anda pasti meluat kecuali anda penyokong AC Milan.
Seorang bekas pundit Football Italia, Frank Richardson berkata:
“Ketika Pippo dipanggil untuk menyertai skuad Itali, saya dan beberapa rakan media hadir melihat sesi latihan pasukan Iatali yang penuh bintang.”
“Kami semua hanya tersenyum dan menggelengkan kepala melihat Inzaghi. Teknik dia sangat teruk.”
Kadangkala penyokong AC Milan turut meluat dengan aksi Inzaghi. Dia berlari dalam dunia dia sendiri seperti tiada tujuan yang jelas.
Terlalu mudah jatuh dan suka merengek apabila pengadil tidak memperdulikan beliau. Namun di sebalik permainan beliau yang seperti hilang arah, beliau kerap menemui titik sentuhan penting untuk menjaringkan gol.
Yang pasti membuatkan anda ingin tergelak adalah cara dia meraikan gol.
Setiap kali gol Inzaghi meraikannya penuh emosi seperti ianya gol kemenangan minit akhir atau rembatan dari jarak 30 meter atau seperti setiap gol adalah gol debut.
Wajah dia hampir menangis dan berlari ke bendera penjuru walaupun ia gol yang meletakkan pasukan mereka 4 gol di hadapan lawan atau gol itu seperti gol nasib,
Pemain Untuk Perlawanan Penting
Peminat Milan dan Itali menganggap Pippo (gelaran beliau oleh media Itali) sebagai pemain untuk perlawanan penting (big ocassion).
Walaupun penyokong kadang-kadang meluat melihat jurulatih yang suka menggunakan beliau setiap minggu kerana ketika itu Milan dipenuhi bintang.
Namun yang menariknya penyokong Milan akan resah jika Inzaghi tidak ada dalam senarai pasukan sekurang-kurannya di bangku simpanan untuk perlawanan penting seperti final.
Ini kerana, Inzaghi ibarat talian hayat terakhir Milan apabila perlu. Lagenda Brazil Roberto Carlos pernah berkata:
“Setiap kali Milan dalam kesukaran atau kebuntuan, mereka ada satu jalan penyelesaian iaitu Inzaghi. Inzaghi ‘bermaksud’ penyelesaian kepada mana-mana masalah Milan.”
Naluri Dan Positioning
Lagenda Belanda, Johan Cruyff sendiri pernah berkata:
“Cuba anda lihat Inzaghi, dia memang tidak boleh bermain bola sepak langsung namun dia sentiasa berada di tempat dan masa yang betul.”
Itulah jawapan kenapa Inzaghi sangat produktif ketika di kemuncak karier beliau.
Pada Disember 2007, Inzaghi memecahkan rekod jagoan Gerd Muller untuk menjadi penjaring terbanyak dalam pertandingan Eropah dengan 63 gol selepas perlawanan menentang Celtic.
Beliau menamatkan karier dengan 70 gol dalam pertadingan Eropah. Inzaghi ada naluri semula jadi yang sukar dijelaskan di dalam padang yang membuatkan beliau sebagai bakat istimewa.
Ia mengingatkan kita kepada Thomas Muller yang dianggap sebagai Pentaksir Ruang atau Raumdeuter. Walaupun dari segi gerakan fizikal dan momentum Inzaghi lambat, namun dari segi tindakan dan pemikiran, beliau sangat cepat.
Reaksi dan tindakan kaki dan anggota badan lain beliau ke atas bola sangat semula jadi. Justeru, ada teori mengaitkan perbuatan Inzaghi ini mempengaruhi pemain pertahanan di sekitar beliau.
Sebagai contoh. Anda masih ingat gol pecutan Gareth Bale vs Marc Batra? Ada satu analisis menyatakan, kelajuan Bartra telah menjadikan Gareth Bale mencapai kelajuan.
Bartra telah merangsang adrenalin dalam badan Bale untuk menghasilkan larian lebih laju ala pelari pecut 100 meter olimpik.
Dalam sukan lumba basikal, kelompok peloton biasanya ada kelajuan luar biasa kerana rangsangan kelajuan oleh sekumpulan pelumba dalam kumpulan itu.
Begitu juga dengan acara 100 meter dan renang, apabila atlit diletakkan dalam kelompok yang berkualiti, ia berpotensi merangsang mereka untuk mencapai tahap maksimum.
Kembali kepada kes Gareth Bale vs Bartra. Jika Bartra ada kemampuan untuk melakukan space marking ataupun shadow defending seperti yang selalu dilakukan Thomas Muller, Bale mungkin akan boleh dilambatkan.
Itu yang dilakukan oleh Inzaghi. Beliau membuatkan pertahanan menjadi lambat kerana terpengaruh dan leka dengan gerakan dan posisi beliau.
Ada yang tidak kisah pasal kehadiran beliau di sekitar mereka kerana menganggap beliau bukan ancaman dari segi kelajuan dan fizikal.
Apabila ada peluang, Inzaghi akan melakukan penyudah dengan segera. Beliau ada kaki kanan pembunuh, boleh melakukan volley dan tandukan yang tepat ke arah sasaran dengan kemahiran yang sangat tinggi.
Inzaghi Dan Pemboleh Ubah
Mungkin bahagian ini akan menjawab segala persoalan kita tentang ancaman Inzaghi di dalam padang.
Menurut rakan beliau Inzaghi seorang yang sangat obses dengan analisis dan ‘pemboleh ubah’ berkaitan kelemahan lawan dan berlatih untuk memanipulasi aspek itu.
Keseluruhan gol beliau di peringkat kelab adalah 197 daripada 466 penampilan. Beliau turut mencatatkan 57 penanmpilan dan 25 gol untuk Itali.
Inzaghi menjadi pejaring kompetitif di semua peringkat termasuk Serie A, UCL, dan peringkat antarabangsa. Ramai mengganggap beliau bernasib baik bermain dalam pasukan seperti Juventus dan AC Milan.
Hal ini disangkal oleh bekas rakan sepasukan beliau, Gennaro Gatusso yang menyatakan, pencapaian Inzaghi itu kerana usaha gigih dan kegilaan ‘profesor’ ini dalam mengkaji pihak lawan seterusnya atau yang 3 bulam akan datang sebagai contoh.
Menurut Gatusso:
“Inzaghi akan berusaha mendapatkan video lawan seterusnya. Dia akan mengkaji mereka sehingga sehari suntuk. Dia ‘tahu’ segala-galanya mengenai mereka.”
“Inzaghi sangan obses (taksub) untuk hal-hal seperti itu. Ramai berfikir Pippo hanya bernasib baik di dalam padang. Ianya silap. Ia kerana persediaan rapi Pippo.”
“Jika pemain tengah tidak menuruti kehendak beliau ketika latihan; contohnya jika hantaran lintang tidak tepat dari arah tertentu, Pippo akan sangat marah dan merajuk.”
“Ini kerana, ia seperti merosakkan kajiannya. Kajian Pippo melibatkan kelemahan pemain pertahanan lawan yang akan kami tentang nanti.”
Inzaghi Seorang Yang Cerdas
Inzaghi memiliki kecerdasan mental yang sangat tinggi. Beliau sudah mendahului pemain pertahanan dari segi apa langkah seterusnya. Sehinggakan beliau kerap kali juga ofsaid.
Alex Ferguson pernah berkata:
“Inzaghi adalah pemain yang dilahirkan ofsaid.”
Pippo pula berkata:
“Rahsia utama saya mencetak gol adalah kemampuan saya untuk berada di tempat dan waktu yang tepat. Saya juga pemain yang bijak mengelakkan perangkap offside.”
Ia kenyataan yang agak diperdebatkan berdasarkan kekerapan beliau ofsaid di dalam padang.
Namun, dari sudut lebih kritikal, kegilaan Inzaghi untuk mengatasi perangkap ofsaid mungkin punca utama beliau kerap ofsaid.
Usaha itu jugalah menjadi punca kenapa Inzaghi banyak mendapat bola di garisan penting itu untuk gol.
Secara ringkas, contohnya dia mencuba 10 kali menewaskan perangkap ofsaid dengan data kajian beliau, 8 daripadanya gagal, 2 berjaya dan salah satu menghasilkan gol yang mungkin gol penting.
Inzaghi anggap ia satu kejayaan walaupun 1 gol daripada 10 cubaan menewaskan perangkap ofsaid. Ini kerana dia anggap mereka melakukan perkara itu berdasarkan analisis beliau.
Ia memerlukan kesabaran, usaha berterusan dan kepercayaan daripada rakan sepasukan.
Inzaghi dilabel sebagai antara poacher yang paling bahaya kerana dia sangat sukar dijangka. Naluri pembunuh di dalam kotak penalti membuatkan dia dilabel fox in the box sepertimana Ruud Van Nistlerooy.
Inzaghi memberikan inspirasi kepaada ramai pemain yang danggap ‘mediocre’ dalam bola sepak dunia. Beliau memberitahu dunia, anda tidak perlu lahir sebagai Kaka atau Ronaldo untuk menjadi antara yang terbaik di dunia.
Anda perlu rajin dan berusaha lebih untuk mengatasi kelemahan lawan.
Baca juga: Raumdeuter: Memahami Maksud Dan Peranan ‘Pentaksir Ruang’ Dalam Bola Sepak