FIFPro Persoal FAM Kenapa Kelantan Dibenarkan Ambil Pemain Baru Ketika Gaji McKain Tak Dibayar

Ini sesuatu yang memalukan nama bola sepak Malaysia.

Dalam satu tweet mereka malam semalam, FIFPro mempersoalkan kepada FAM mengapa Kelantan dibenarkan mengambil pemain import baru ketika mereka masih belum menyelesaikan masalah tunggakan gaji bekas pemain import mereka, Jonathan McKain.

Tweet tersebut dikeluarkan selepas McKain sendiri mengulas, “menandatangani jurulatih dan pemain import baru tanpa membayar tunggakan gaji terdahulu adalah sesuatu yang salah. Sudah 7 bulan dah sekarang.”

McKain merujuk kepada perlantikan Alfredo Carlos Gonzales (Uruguay) sebagai Pengarah Teknikal KAFA dan Sanna Nyasi (Gambia) yang akan menggantikan Alessandro Celin. Celin ketika ini sedang dilanda kecederaan jangka masa panjang dan bakal ditamatkan kontraknya.

PFA Malaysia: Keutamaan KAFA bukan untuk selesaikan masalah

Sementara itu wakil FIFPro di Malaysia, PFA Malaysia turut mengkritik tindakan KAFA yang mengambil staf dan pemain baru tanpa menyelesaikan masalah tunggakan gaji bekas pemain mereka.

Ketua Pengarah Eksekutif mereka, Izham Ismail memberitahu situasi ini menunjukkan keutamaan KAFA bukanlah untuk menyelesaikan masalah tunggakan gaji mereka.

“Sepatutnya KAFA memandang serius amaran FMLLP yang akan membuat pemotongan mata kepada pasukan yang bermasalah (dengan pembayaran gaji).”

Izham turut menyatakan hukuman pemotongan mata sepatutnya dilihat sebagai hukuman permulaan oleh pasukan yang degil.

“Kalau pasukan masih liat untuk membayar gaji pemain walaupun sudah dipotong mata, kita harus mengenakan hukuman yang lebih berat – embargo perpindahan pemain.”

“Kalau arahan embargo perpindahan pemain juga gagal menyedarkan pasukan, kita patut menggantung penyertaan pasukan dalam liga.”

Photo by Ahmad Fadali | www.asiana.my

Izham (gambar atas) turut menjelaskan semua hukuman ini sudah termaktub dalam peraturan liga dan syarat-syarat perlesenan kelab. Cuma pasukan liga kita masih belum mengambil peraturan ini secara serius.

“Mungkin kita hanya akan mula mengambil serius selepas ada satu organisasi global yang mendesak kita untuk mengambil serius tentang perkara ini.”

Tindakan Annuar Musa salahkan FMLLP tak adil

Mengulas mengenai status Tan Sri Annuar Musa yang menempelak FMLLP kerana gagal memberikan pulangan wang yang setimpal kepada pasukan dan hanya berminat untuk menghukum pasukan sahaja, Izham menjawab ‘itu adalah tidak adil’.

“Mana-mana pekerja yang tak dibayar gajinya, pasti akan menyalahkan majikannya.”

“Betul, pasukan mempunyai hak untuk mendapat pulangan yang setimpal daripada perjanjian hak penyiaran TV dalam liga. Tetapi duit itu tak sepatutnya dijadikan sumber pendapatan 100% bagi pasukan untuk membayar gaji.”

Izham turut menekankan sebelum kewujudan FMLLP lagi, masalah tunggakan gaji pemain sudah berleluasa di Malaysia.

“Malah kita juga perlu ingat. Pasukan juga mempunyai tanggungjawab mereka sendiri untuk mencari dana.”

“Meskipun Tan Sri Annuar Musa sudah menegaskan duit untuk mengambil staf dan pemain baru ini datangnya dari konsortium, ia tak memberi sebab untuk KAFA tidak membayar gaji bekas pemainnya.”

Sebagai rekod, kes tunggakan gaji Jonathan McKain kini sudah pun sampai ke pengetahuan FIFA hasil tindakan proaktif PFA Malaysia. Selain McKain bekas ketua jurulatih Kelantan, Velizar Popov juga berdepan dengan masalah sama dengan KAFA.

Seluruh dunia sedang memerhatikan Malaysia

Isu ini tidak membantu reputasi liga bola sepak Malaysia yang terkenal dengan masalah pemain tak dibayar gaji seperti ketetapan kontrak mereka.

Dalam laporan 2016 FIFPro Global Employment Report, FIFPro mendedahkan 44% pemain di Malaysia menerima gaji lewat daripada tarikh sebenar.

Izham memberitahu dengan penglibatan FIFPro dalam isu KAFA ini, seluruh dunia sedang memerhatikan kita untuk melihat bagaimana kita mengendalikan isu ini.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN