FIFA akhirnya telah mengesahkan Manchester United sebagai juara kelab dunia sebanyak dua kali selepas mengiktiraf kejuaraan Piala Intercontinental yang dimenangi mereka pada 1999.
Pengiktirafan ini disahkan selepas satu mesyuarat jawatankuasa badan bola sepak dunia tersebut mengesahkan juara Piala Intercontinental yang dianjurkan dari 1960 sehingga 2004 sebagai juara kelab dunia.
Piala Intercontinental biasanya dipertandingkan untuk mempertemukan juara Piala Eropah dan juga juara Copa Libertadores dari benua Amerika Selatan.
Sejarah menunjukkan pertandingan ini sering dicemari dengan keganasan dan wujud perbezaan pendapat mengenai bagaimana seharusnya format pertandingan diadakan dari kalangan kelab dari Eropah.
Sebagai contoh, Liverpool enggan mengambil bahagian pada edisi 1977 dan 1978 apabila dijadualkan bertemu wakil dari Argentina, Boca Juniors.
Kelab-kelab dari British mempunyai rekod yang buruk dalam pertandingan ini. Celtic, Manchester United, Nottingham Forest dan Aston Villa pernah mengalami kekalahan.
Liverpool turut pernah tewas sebanyak 2 kali dalam perlawanan akhir Piala Intercontinental ini sehinggalah Manchester United kembali menewaskan wakil daripada Brazil, Palmeiras pada 1999.
Manchester United layak ke pertandingan tersebut setelah muncul juara UEFA Champions League menewaskan Bayern Munich di Nou Camp ketika menjuarai kejuaraan ‘treble’ pada musim 1998/99.
Kemenangan ke atas Palmeiras dalam perlawanan akhir Piala Intercontinental 1999 di Tokyo itu adalah hasil jaringan tunggal Roy Keane pada minit ke-35 perlawanan.
Selepas kejayaan di Piala Intercontinental, Manchester United turut menjuarai Piala Kelab Dunia FIFA pada 2008 yang diadakan dalam skala lebih luas, menampilkan juara kelab dari setiap benua.
Manchester United menewaskan wakil CONMEBOL, juga merupakan juara Copa Libertadores 2008 dengan jaringan 1-0, selepas jaringan Wayne Rooney pada minit ke-73 perlawanan mengesahkan kemenangan United.
Chelsea adalah kelab terakhir daripada British yang membuat penampilan di dalam pertandingan ini, namun tewas kepada wakil dari Brazil di perlawanan akhir pada Piala Kelab Dunia FIFA edisi 2012.