Fernandinho yang mula menyertai Manchester City pada musim 2013/14 berjaya memenangi tiga kejuaraan Liga Perdana Inggeris bersama kelab yang turut dikenali sebagai The Cityzens itu.
Turut beraksi di pentas Eropah membuatkan pemain kelahiran Brazil ini akan berhadapan dengan pemain-pemain jentera serangan terkenal dunia seperti Cristiano Ronaldo, Lionel Messi dan ramai lagi.
Namun, sekiranya anda merasakan kelibat dua pemain superstar dunia itu adalah pemain yang amat sukar untuk dihadapi Fernandinho, anda ternyata salah kerana ada pemain lain yang menghantui dirinya.
Pemain dimaksudkan ialah Diego Costa, penyerang Atletico Madrid yang cukup ‘liar’ dengan perwatakan bengis ketika di dalam padang.
”Pemain yang sukar saya pernah hadapi adalah Lionel Messi, Cristiano Ronaldo, Neymar, Kylian Mbappe – kesemua mereka adalah sangat bagus dan mereka menghadirkan masalah kepada pertahanan.”
”Tetapi bagi saya, seorang pemain yang paling sukar untuk dihadapi adalah Diego Costa ketika dia beraksi bersama Chelsea.”
”Dia berada dalam keadaan yang sangat baik dan saya mengharapkan agar dapat berhadapan dengannya lagi,” ujar Fernandinho menurut laporan dikeluarkan Goal.
Kedua-dua pemain tersebut pernah terlibat dalam satu pergeseran apabila penyerang skuad kebangsaan Sepanyol itu berang kerana disiku oleh Fernandinho dan sebelum aksi babak kedua bersambung, Costa menunggu di terowong stadium untuk melepaskan kemarahannya.
Selepas empat musim bersama Chelsea, Costa memilih untuk kembali berhijrah ke kelab lamanya, Atletico Madrid pada musim 2017/18.
Kredit foto: Laurence Griffiths/Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Diego Costa: