Ketua jurulatih FELDA United, Mohd Nidzam Jamil tidak sabar beradu kekuatan taktikal dengan Dollah Salleh apabila pasukannya dijadualkan menentang Pahang dalam saingan Liga Super, di Stadium Tun Abdul Razak Jengka, pada Sabtu ini.
Bercakap dalam Berita Harian, FELDA United memanfaatkan tempoh rehat tiga minggu untuk memperbaiki segala kelemahan dan membuat persiapan rapi untuk mengejutkan juara Piala FA 2018 itu.
“Saya gembira kerana dapat menggunakan tempoh sepanjang tiga minggu ini untuk memperbaiki kelemahan sementara ada pemain yang sudah pulih daripada kecederaan.
“Bagi saya, segala kelemahan yang ada sudah diatasi dengan sebaik mungkin bukan sahaja persediaan menghadapi Pahang, malah pasukan yang mempunyai nama besar seperti Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC (TFC).
“The Fighters akan memulakan kembali saingan Liga Super berdepan Pahang, Sabtu ini dengan komitmen tinggi sepanjang 90 minit perlawanan. Segala kekurangan yang dipersembahkan sebelum ini sudah dipertingkatkan dan diharap dapat diterjemahkan sebaik liga bersambung,” katanya.
Selepas enam perlawanan Liga Super, FELDA United merekodkan satu kemenangan, tiga seri dan tewas dua kali sekali gus meletakkan kelab itu di kedudukan kelapan dengan enam mata.
Bagaimanapun bahagian tengah pasukan itu sedikit terjejas ekoran kecederaan yang dialami Danial Amier Norhisham hujung minggu lalu ketika bersama skuad B-23 negara dalam kempen kelayakan AFC B-23.
Nidzam bagaimanapun tidak begitu panik dengan ketiadaan pemain tersebut kerana beliau masih ada beberapa pengganti yang boleh diharapkan.
“Bukan saya sahaja, mana-mana jurulatih sekalipun apabila kehilangan pemain seperti Danial Amier.
“Saya sendiri berasa kecewa kerana dia menunjukkan prestasi yang baik bersama skuad kebangsaan manakala dia dilanda kecederaan pada awal musim.
“Tetapi, saya masih mempunyai pemain seperti Zahril Azri Zabri, Jasazrin Jamaluddin dan pemain import, Jocinei Schad, untuk menampung bahagian tengah,” katanya.