Quantcast

BERITA

Datuk Ahmad Amizal Perlu Selesaikan Hutang Tertunggak RM3 Juta Kepada PFA

Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) Mohamad Abdul Karim Khan Mansur Ahmad Khan, menuntut bekas presiden PFA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit membayar RM3 Juta kepada persatuan tersebut dalam masa 14 hari sehingga 9 April.

Beliau berkata, bayaran itu adalah untuk menyelesaikan hutang PFA atau tindakan saman akan diambil ke atasnya.

Ia juga termasuk ganti rugi atas kemungkiran Ahmad Amizal dalam perjanjian penajaan kepada PFA yang dibuat antara mereka sewaktu perlantikannya sebagai Presiden tahun lalu.

“Tindakan (tuntutan) ini dibuat berdasarkan segala kerosakan dan memberi imej buruk kepada PFA yang dilakukan sebelum ini sehinggakan PFA disingkirkan oleh MFL dari beraksi dalam Liga Perdana 2019.

“Sekiranya dia gagal menjelaskan hutang berkenaan, saman akan dikeluarkan terhadap beliau oleh pihak kami,” katanya menerusi satu kenyataan dalam Berita Harian.

Datuk Ahmad Amizal ketika menjadi Presiden Perlis FA. FOTO: PFA

Karim turut mengesahkan PFA akan mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada April ini bagi memilih Presiden yang baharu.

“Ini bagi memilih Presiden baharu yang mampu menerajui dan menyelesaikan segala tanggungan hutang PFA yang menjangkau lebih RM 4 juta.

“Ia juga seperti yang tertakluk pada syarat yang ditetapkan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk membolehkan pasukan beraksi semula dalam dalam kancah liga,” katanya.

Sementara itu, PFA menerusi Naib Presiden 1, Ismasuhaimi Shariff sudah menghadap Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bagi menerangkan situasi sebenar PFA pada 20 Mac lalu di Istana Arau.

“Tuanku menyarankan agar PFA terus menjadi badan bola sepak negeri yang menguruskan aktiviti sukan itu di negeri ini selain menyarankan agar diadakan semula Liga Bola Sepak Perlis,” katanya.