Selepas gagal mengutip 3 mata penuh dalam 4 perlawanan Liga Super sebelum ini, FELDA United akhirnya menarik nafas lega apabila mereka meraih kemenangan yang pertama ke atas Petaling Jaya City FC (PJ City) di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Semalam.
Jaringan tunggal pemain import dari Jepun, Kei Ikeda menerusi sepakan penalti pada minit ke-29 selepas pemain pasukan itu dijatuhkan dalam kotak penalti.
Ianya sekaligus memastikan skuad The Fighters melonjak dua anak tangga untuk menghuni di kedudukan ke 7 dalam carta Liga Super dengan berbekalkan 6 mata.
Menurut Ketua Jurulatihnya, Mohd Nidzam Jamil, beliau berkata kemenangan itu memberi semangat tambahan kepada anak buahnya untuk memperbaiki kedudukan pasukan dalam saingan Liga Super.
“Sepanjang minggu mereka sangat fokus dengan misi membaiki kedudukan, dan saya pasti mereka bangga dengan kejayaan ini walaupun kita turun bermain secara bertahan, bagi saya bukan mudah untuk menang dengan satu pasukan yang bertenaga seperti PJFC.
“Ini secara langsung pemain membuktikan mereka boleh melakukannya, apabila bertemu pasukan gergasi seperti Selangor dan Kedah nanti dan pastinya tiga mata diperolehi amat penting bagi kelab yang sedang mendaki seperti kita,” kata Nidzam seperti dipetik dalam Bernama.
Nidzam berkata mereka cuba menampilkan permainan yang bertenaga bagi menyaingi keupayaan pasukan lawan seawal waktu permainan, tetapi strategi itu kurang menjadi sebelum mereka bertindak menukar rentak kepada bertahan bagi mengekalkan keputusan perlawanan.
“Kami cuba bermain laju di mana 25 minit pertama pemain cuba menyesuaikan diri dengan rentak pantas perlawanan tetapi kadang kala dalam bola sepak hal ini tidak terjadi, apapun yang penting kami tidak berkongsi gol.
Sementara itu, pengendali PJFC, K. Devan, berkata pasukannya dilihat kurang bernasib baik apabila gagal menjaringkan gol walaupun memiliki banyak peluang keemasan.
“Kami berjaya menguasai permainan dan memperolehi lapan peluang menghasilkan gol, tetapi nasib tidak menyebelahi dan kami terpaksa akur dengan kekalahan ini, bagi perlawanan seterusnya kami akan cuba tampil lebih baik,” katanya.