Quantcast

KAJIAN & FAKTA

Kapten Pasukan Bola Sepak Orang Buta Malaysia Rayu Bantuan Demi Persiapan Paralimpik Tokyo 2020

Nasib pasukan bola sepak orang buta Malaysia mungkin berubah ke arah lebih baik jika tidak kerana kekhilafan pengadil. “Ketua pengadil dari Greece mengaku pengadil membuat kesilapan dan meminta maaf kepada kami. Tetapi apakan daya, nasi sudah menjadi bubur,” kata kapten dan penyerang pasukan bola sepak orang buta Malaysia, Amirul Arif Mahadhir.

Mendahului Korea Selatan 3-1 pada separuh masa pertama dalam perlawanan suku akhir IBSA Asian Blind Football Championships 2017, Malaysia berada dalam landasan terbaik untuk layak ke versi Piala Dunia bola sepak orang buta; IBSA World Blind Football Championships 2018 di Sepanyol.

Malaysia hanya perlu mempertahankan pendahuluan 2 gol untuk layak ke separuh akhir. Layak ke separuh akhir bererti layak ke Piala Dunia di Sepanyol. Tetapi pada separuh masa kedua, kegagalan pengadil untuk memeriksa penutup mata (eye patch) seorang penyerang Korea Selatan meranapkan harapan Malaysia.

“Orang cacat penglihatan ini akan jadi lebih yakin kalau dia nampak cahaya. Jadi bila pengadil gagal memeriksa eye patch penyerang Korea Selatan itu sebelum beliau masuk, beliau jadi yakin,” jelas Arif.

Disebabkan pemain mempunyai tahap cacat penglihatan yang berbeza-beza, setiap pemain wajib memakai penutup mata dan diperiksa oleh pengadil sebelum memasuki padang. (Foto: R. Age)

Baca: Bagaimana Bola Sepak Orang Buta Dimainkan?

Keyakinan penyerang Korea Selatan itu jelas kelihatan apabila beliau menjaringkan 3 gol pada separuh masa kedua untuk meranapkan impian Piala Dunia Arif dan rakan-rakan sepasukannya. Malaysia tewas 4-3 di suku akhir. Hasil kemenangan ini, Korea Selatan mengiringi Thailand, China dan Iran ke Piala Dunia.

Bagi Arif dan rakan sepasukannya, kekalahan tersebut sememangnya pahit untuk ditelan. Realiti tidak layak ke Piala Dunia juga bererti kontrak Persatuan Bola Sepak Orang Buta Malaysia (BFAM) dengan Majlis Sukan Negara (MSN) tidak akan disambung. Ini bermakna, tiada lagi tempat latihan berkelas dunia dan elaun untuk mereka. BFAM perlu kembali mencari dana mereka sendiri untuk berlatih.

“MSN hanya akan sambung kontrak dengan persatuan kami [BFAM] hanya jika kami layak ke Piala Dunia,” terang Arif kepada Semuanya BOLA. “Jadi sebaik kami tewas kepada Korea Selatan, kontrak persatuan dengan MSN yang berakhir pada 31 Disember 2017 tidak disambung.”

Ketika berada di bawah naungan MSN, pasukan bola sepak orang buta Malaysia mendapat kemudahan latihan, jurulatih kecergasan, pakar nutrisi, pakar psikologi, jurulatih gimnasium, elaun latihan serta tanggungan kos perbelanjaan pertandingan di luar negara.

Kini tanpa MSN, mereka mengharapkan ehsan daripada DBKL dan Khazanah Nasional Berhad untuk berlatih secara percuma di Cruyff Court Brickfields. Latihan mereka pula dikendalikan oleh ketua jurulatih Sunny Shalesh, tanpa bantuan daripada jurulatih kecergasan. Ketiadaan elaun MSN bererti pemain perlu kembali bekerja sepenuh masa; menyebabkan mereka kekurangan masa untuk berlatih dan mengekalkan tahap kecergasan.

Ketua jurulatih skuad bola sepak orang buta Malaysia, Sunny Shalesh merupakan bekas penjaga gol skuad sama pada 2009. (Foto: R. Age)

Jika keadaan ini berterusan, amat sukar bagi pasukan bola sepak orang buta Malaysia untuk membuat persiapan menjelang dua kejohanan penting: kelayakan Paralimpik Tokyo 2020 di Bangkok pada September 2019 ini dan ASEAN Para Games Filipina pada Januari 2020.

Bercakap mengenai dua kejohanan ini, Arif mendedahkan sasaran realistik pasukannya. “Kami mensasarkan untuk bersaing secara kompetitif dalam kelayakan Paralimpik Tokyo 2020 dan mendapat pingat emas dan ASEAN Para Games Filipina,” jelas pelajar Sarjana Muda Pengurusan Sukan Universiti Malaya ini.

“Tapi untuk membuat persiapan demi mencapai sasaran ini, kami perlukan bantuan terutamanya dari segi kewangan. Kami dah buat roadmap dan perancangan. Cuma situasi kewangan persatuan perlu diberikan bantuan.”

Dalam kelayakan Paralimpik Tokyo 2020 di Bangkok nanti, cabaran utama Malaysia datangnya dari gergasi bola sepak orang buta Asia: China dan Iran. “Dalam kelayakan Paralimpik ini, kami hanya menyasarkan untuk tampil kompetitif sebagai persiapan ASEAN Para Games sahaja,” tambah Arif. “Dalam ASEAN Para Games Filipina, Thailand adalah pencabar utama kami untuk mendapat pingat emas.”

Selain itu bantuan kewangan ini juga dapat membantu Persatuan Bola Sepak Orang Buta Malaysia (BFAM) untuk meningkatkan standard dan mutu bola sepak orang buta di Malaysia. “Kami dapat banyak permintaa daripada orang-orang cacat penglihatan di seluruh Malaysia yang berminat untuk mengajar mereka bermain bola sepak,” dedah Arif. “Tetapi kekangan kewangan membataskan keinginan kami untuk membantu mereka.”

Orang ramai atau syarikat-syarikat yang ingin menghulurkan bantuan kewangan kepada Persatuan Bola Sepak Orang Buta Malaysia (BFAM) boleh berbuat demikian melalui nombor akaun bank persatuan iaitu 105300019984 (Affin Bank).

Segala derma/sumbangan akan diberikan pelepasan cukai.

Saksikan mesej daripada Arif sendiri dalam video di bawah:

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!