Di atas kertas, perlawanan ini tampak seperti tiga mata mudah buat Felda United yang berdepan Lions XII yang sudah bolos 7 gol dalam 3 perlawanan.
Dalam perlawanan liga super yang lepas, Felda United menewaskan ATM 2-1 di Selayang untuk menerajui liga selama dua minggu. Lions XII pula terpaksa bekerja keras di Ipoh untuk mencuri satu mata dari Perak dalam perlawanan yang berakhir seri 2-2.
Barisan kesebelasan Felda United
Tanpa sebarang kejutan, Irfan Bakti menurunkan kesebelasan utamanya dengan formasi 4-3-3. Penyerang Liberia, Edward Wilson mengetuai jentera serangan sambil dibantu oleh Ndumba Makeche dan Ahmad Syamim Yahya yang bertukar-tukar sayap. Shahrulnizam Mustapa meneruskan tugasnya sebagai deep lying playmaker sambil dibantu oleh Zah Rahan yang bermain mirip pemain tengah box-to-box.
Meskipun Indra Putra diletakkan di posisi pemain tengah, beliau jarang terlibat dalam gerakan mencipta peluang. Sebaliknya beliau kerap muncul di kotak setiap kali pemain sayap membuat hantaran lintang, membuatkan beliau tampak bermain dalam posisi second striker.
Barisan kesebelasan Lions XII
Mungkin kerana ini kali pertama kami melihat Lions XII beraksi pada 2015, kami terkejut apabila pemain pertahanan Afiq Yunos diketepikan untuk digantikan dengan Muhd Zulhelmi, yang asalnya merupakan pemain tengah. Adakah ini usaha Fandi Ahmad untuk mengukuhkan pertahanannya?
Dalam kesemua barisan kesebelasan utama Lions XII malam semalam, hanya Madhu Mohana dan Hafiz Sujad sahaja yang kami kenal pasti sebagai pemain pertahanan. Nazrul Nazari asalnya merupakan pemain sayap kanan sebelum diberi kepercayaan mengisi posisi bek kanan. Di lain-lain posisi, tiada kejutan yang ditampilkan Fandi Ahmad.
Rumusan perlawanan
Majoriti perlawanan dikuasai oleh Felda United dengan Shahrulnizam Mustapa dan Zah Rahan jelas mendominasi aksi di tengah padang. Bahaya Felda United banyak datang dari bahagian sayap yang dikemudi oleh Ahmad Syamim dan Ndumba Makeche tetapi Madhu Mohana dan pasangan barunya, Muhd Zulhelmi selesa menangani hantaran-hantaran lintang dari Felda United.
Lions XII sekali-sekala cuba mengancam pertahanan Felda United yang diketuai oleh Shukor Adan tetapi jelas mereka kekurangan idea di hadapan. Selain daripada gerakan swapping Khairul Amri dan Faris Ramli, barisan pertahanan Felda selesa menangani pemain mereka. Gabriel Quak mempunyai skil yang bagus tetapi kelemahan kaki kanannya membuatkan larian beliau mudah dibaca Aizulridzuan Razali.
Lions XII memecah kebuntuan dengan gol Madhu Mohana pada masa tambahan separuh masa pertama tetapi ia dibatalkan kerana ofsaid. Selain dari itu, perlawanan berlangsung tanpa sebarang drama.
Gerakan Edward Wilson dan Indra Putra mendatangkan masalah
Pada 10 minit pertama, Felda menguasai perlawanan dengan Shahrulnizam Mustapa dan Zah Rahan merajai bahagian tengah padang. Setiap kali mereka mendapat bola, mereka akan membuat hantaran diagonal ke Ahmad Syamim atau Ndumba Makeche di bahagian sayap. Dari bahagian sayap, hantaran lintang dihantar ke kotak penalti sehingga menghasilkan beberapa peluang gol awal buat Felda United.
Apa yang menariknya, pada 10 minit pertama ini Edward Wilson seakan-akan bermain di posisi ‘false nine’ – turun di zon tengah ketika Felda United kehilangan bola dan meluru ke kotak penalti ketika hantaran lintang dilakukan.
Apabila Edward Wilson membuat gerakan seperti ini, Felda United mempunyai 4 pemain di bahagian midfield sekaligus menyenangkan kerja Shahrulnizam Mustapa dan Zah Rahan untuk menguasai bahagian tengah. Di tengah, Felda mempunyai kelebihan pemain apabila situasi 4v3 dapat dicipta dengan gerakan Edward Wilson.
Edward Wilson: penyerang tradisional vs false nine?
Malangnya selepas 10 minit tersebut, Edward Wilson kembali bermain seperti penyerang tunggal yang konvensional. Ketika Felda United kehilangan bola, Wilson tidak lagi turun ke zon tengah padang untuk mencipta situasi 4v3 di tengah.
Baca: Pengenalan Kepada Taktik Licik ” The False 9″
Pengaruh Shahrulnizam Mustapa dan Zah Rahan berkurang dan kerap kali hantaran mereka berjaya disekat oleh pemain tengah Lions XII.
Khairul Amri pula sebagai false nine
Selepas 10 minit pertama, giliran Lions XII pula mendominasi perlawanan. Khairul Amri kerap turun di zon tengah ketika pemain tengah mereka memegang bola sebelum mereka melancarkan serangan melalui Gabriel Quak dan Faris Ramli. Dengan situasi 4v3 memihak Lions XII di tengah padang, persembahan Shahrulnizam Mustapa dan Zah Rahan mula tenggelam, manakala persembahan Izzdin dan Isa Halim pula mennyerlah.
Ketika Khairul Amri melakukan gerakan-gerakan ini, Faris Ramli mempunyai 2 peluang shots on target yang mudah dibaca oelh Farizal Harun. Sementara itu, Gabreil Quak mempunyai satu peluang shot on target.
Untuk mengurangkan bahaya Khairul Amri di zon tengah, Shukor Adan melakukan man marking ke atasnya. Keputusan ini berisiko kerana ia meninggalkan banyak ruang untuk Bojan Miladinovic pertahankan. Adakalanya barisan pertahanan Felda United tampak kucar-kacir apabila Shukor Adan melakukan man-marking terhadap Khairul Amri.
Shukor Adan banyak melakukan foul di kawasan tengah hasil daripada tindakannya itu. Pada masa tambahan separuh masa pertama, Lions XII menerima sepakan percuma kira-kira 30 meter dari gol hasil foul oleh Shahrulnizam Mustapa. Sepakan percuma tersebut berjaya ditanduk gol oleh Madhu Mohana tetapi dibatalkan pengadil kerana ofsaid.
Separuh masa kedua: Felda United makin agresif, tetapi Lions XII selesa
Masuk separuh masa kedua, Felda United mengubah ke formasi 4-4-2 dan lebih banyak hantaran direct dilakukan kepada Edward Wilson dan Ndumba Makeche. Tetapi Lions XII seperti sudah bersedia dengan perubahan taktikal Irfan Bakti.
Pada separuh masa kedua, Lions XII selesa bertahan, menyerap asakan Felda sebelum melancarkan serangan balas. Felda United cuba bertindak balas dengan membawa masuk Ferris Danial untuk membantu Ndumba Makeche dan Hadin Azman untuk menggantikan Indra Putra tetapi barisan pertahanan Lions XII yang diketuai Madhu Mohana cemerlang menangkis bahaya Felda United.
Ferris Danial: akhirnya milik Felda United
Selepas berbulan-bulan berbincang dengan Kelantan FA, Ferris Danial akhirnya milik Felda United. Perlawanan malam semalam merupakan kali pertama kami menyaksikan aksi beliau secara langsung. Hasil pemerhatian kami, beliau seorang penyerang yang mempunyai link-up play yang baik, tidak kedekut tetapi perlu memperbaiki ketenangan dihadapan gol dan kelemahan kaki kirinya.
Like page SemuanyaBOLA di Facebook.
Follow Twitter kami di @semuanyabola
Sumber gambar: Felda United, Lions XII