Selepas kehilangan pemain sayap, Muhammad Hadin Azman, Felda United kini dalam usaha untuk mendapatkan pemain baharu yang mampu menggantikan bekas kapten pasukan itu bagi menguatkan jentera serangan untuk menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.
Keputusan Hadin untuk mengangkat kaki dan menyertai pasukan Kedah ternyata merupakan satu kehilangan besar buat skuad The Fighters selepas pemain itu beraksi cemerlang pada musim ini dan telah beberapa kali mendapat panggilan untuk menyertai skuad kebangsaan.
Tolak Lamaran Beberapa Pasukan, Hadin Azman Nekad Pilih Kedah – https://t.co/QMd7Tl5Ddg pic.twitter.com/3SmoSuzkhA
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) December 4, 2019
Dengan pihak pengurusan memutuskan untuk membuat penstrukturan semula bajet perbelanjaan pasukan pada musim depan, Felda turut kehilangan beberapa pemain utama lain seperti Norazlan Razali dan S. Chanturu.
Bagaimanapun ketua jurulatih Felda United, Nidzam Jamil sudah pun mempunyai perancangan untuk mengisi kelompongan yang ditinggalkan itu.
Dalam temubual bersama SemuanyaBOLA, Nidzam menjelaskan beliau kini dalam usaha untuk melengkapkan pasukan dengan mendapatkan pemain-pemain baharu yang beliau percaya mampu membantu pasukan itu bersaing di saingan Liga Super.
https://twitter.com/DugoutAsia/status/1118334457159618560?s=20
“Sudah tentu bila kami kehilangan Hadin yang boleh dikatakan antara pemain terbaik di bahagian serangan, ianya agak memberi kesan kepada pasukan.
“Dalam konteks pemain tempatan, yang setanding dengan beliau mungkin Safawi [Rasid] atau [Mohamadou] Sumareh yang bagi saya sudah tentu kami tidak mampu untuk dapatkan mereka.
“Jadi pilihan yang ada sekarang adalah dapatkan pemain sayap import yang kami sudah pun kenal pasti. Gaji yang ditawarkan pun bertepatan dengan bajet pasukan, jadi saya harap jadilah [ambil],” kata bekas pemain Selangor itu.
13 Pemain Sah Bersama Felda United Musim Depan – https://t.co/EooGZQt8IB pic.twitter.com/SWSnbw2mCw
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) December 11, 2019
Nidzam bagaimanapun sudah tentu berasa lega kerana masih dapat mengekalkan pemain tengah kebangsaan, Muhammad Daniel Amier Norhisham dan pemain berpengalaman, Jasazrin Jamaluddin.
Selain itu penyerang Singapura, Mohammad Khairul Amri Mohammad Kamal telah disahkan akan terus menyarung jersi Felda United untuk musim depan. Ini bermaksud masih ada empat kekosongan untuk melengkapkan kuota pemain import.