Berikutan kecederaan Achilles tendon yang dialami Rufino Segovia, penyerang import Selangor kelahiran Madrid itu bakal direhatkan sehingga akhir musim ini.
Perkembangan terbaharu itu disahkan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) di laman sesawang rasmi pasukan.
Setiausaha Agung FAS, Johan Kamal Hamidon menegaskan pihaknya enggan terburu-buru kerana Rufino masih berbaki kontrak selama setahun bersama skuad Gergasi Merah itu.
Sehubungan dengan itu, beliau mahu memberikan ruang dan peluang buat penjaring terbanyak Liga Super 2018 itu untuk pulih sepenuhnya dan menjalani proses pemulihan dengan baik.
“Rufino masih lagi mempunyai baki satu tahun kontrak bersama FAS dan oleh sebab itu kami tidak tergesa-gesa untuk menggunakan khidmat beliau.”
“Kami juga memberi ruang bagi Rufino untuk sembuh sepenuhnya untuk mengelakkan kecederaan itu berulang jika tidak dirawat dengan sebaiknya,” tambah Johan lagi.
Malang menimpa Rufino sehingga beliau terpaksa berehat panjang apabila mengalami kecederaan ketika bertemu Kuala Lumpur di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Mac lalu.
Ketiadaan Rufino Segovia itu akan bagaimanapun mungkin tidak memberikan masalah besar buat Selangor kerana pasukan yang kini berada di tangga kelima Liga Super Malaysia 2019 itu sudah berjaya mendapatkan khidmat penyerang dari Nigeria,Ifedayo Olusegun Patrick Omosuyi.