Semalam berterbaran di beberapa laman peminat – di media sosial – menyatakan bahawa B. Sathianathan bakal digantikan dengan jurulatih baharu.
Ini selepas Sathianathan gagal membantu Selangor mendapatkan kemenangan pertama selepas 5 perlawanan Liga Super.
Antara nama yang dikaitkan adalah bekas pengendali JDT – Mario Gomez dan juga bekas pengendali Kedah – Ramon Marcote. Nama Bojan Hodak juga turut dikaitkan.
Khabar angin itu sampai ke telinga Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Dr. Johan Kamal Hamidon.
Johan dengan pantas menafikan spekulasi itu. Beliau menyatakan FAS masih kekal berada di belakang Sathianathan. FAS masih menyokong dan percaya dengan jurulatih yang telah mereka lantik beberapa bulan yang lalu.
Dipetik daripada Utusan Malaysia, Dr. Johan berkata: “Itu cuma khabar angin. Kami tidak akan terburu-buru dalam membuat keputusan – yang akhirnya boleh merugikan pasukan.”
“FAS masih menaruh kepercayaan penuh kepada jurulatih untuk mengendali pasukan. Malahan, para pemain juga telah menunjukkan semangat juang tinggi untuk meraih kemenangan.”
Johan menyatakan, jika para peminat meneliti aksi Selangor ketika berhadapan dengan Pahang dan JDT, mereka pasti sedar bahawa pasukan Selangor banyak menunjukkan peningkatan.
Lantas Johan percaya, Selangor kini sedang dalam proses kembali berada di landasan yang tepat.
“Kalau tengok dua perlawanan terakhir ketika menentang Pahang dan JDT. Saya rasa semua setuju Selangor telah menunjukkan peningkatan berbanding perlawanan sebelum ini,” tambah beliau lagi.