Sentuhan Trio JDT, Antara 5 Gol Tercantik Minggu 5 MSL 2019

Minggu ke-5 Liga Super Malaysia (MSL) telah pun berlangsung. Dua perlawanan diadakan pada Jumaat, tiga lagi berlangsung pada Sabtu, dan pertemuan diantara Pahang menentang Selangor di Kuantan melengkapkan enam perlawanan sepanjang hujung minggu yang lalu.

14 gol telah dihasilkan sepanjang hujung minggu lalu daripada enam venue perlawanan. Tidak terkecuali, beberapa jaringan cantik turut dihasilkan, dan lima daripada jaringan tersebut kami senaraikan sebagai gol tercantik minggu ini.

Pemilihan kami adalah gol yang bersih dan bukan ‘fluke’. Contohnya terbias di kaki pemain lain ataupun kerana kesilapan penjaga gol yang melepaskan bola. Ianya juga mengambil kira bagaimana gol tersebut dihasilkan secara teknikal.

5. Nazrin Nawi vs Kuala Lumpur

Beraksi bersama Perak pada musim lalu, ini adalah penampilan sulung Nazrin Nawi di Liga Super bersama Melaka United pada musim ini.

Tidak dikawal di sebelah kiri serangan, Nazrin memanfaatkan ‘off the ball running’ beliau dengan sentuhan pertama meyakinkan, hasil hantaran jauh rakan sepasukan. Peluang yang hadir kemudiannya disudahkan dengan cukup klinikal.

4. Norshahrul Idlan Talaha vs PKNP FC

Jaringan Norshahrul Idlan Talaha dalam perlawanan ini membuktikan diri beliau sentiasa bersedia untuk diturunkan sekiranya diperlukan oleh Pahang atau Dollah Salleh.

Mengekori Ze Love yang mengawal bola dengan baik, larian dari belakang membuka ruang buat dirinya. Norshahrul kemudiannya tenang turut menewaskan penjaga gol sebelum menolak masuk untuk jaringan ketiga Tok Gajah.

3. Rufino Segovia vs JDT

Kami tidak berpendaat Rufino Segovia telah beraksi di tahap terbaik setakat ini. Namun jaringan ini membutikan beliau mampu menjaringkan gol secara konsisten untuk Selangor pada musim ini.

Berlegar di dalam kotak penalti, penyerang dari Sepanyol itu menghidu ruang kosong di hadapannya untuk membenarkan hantaran dilakukan oleh Faiz Nasir. Ia disudahkan dengan tandukan bebas kencang dari luar kotak 6 ela yang menewaskan Farizal Marlias.

2. Gonzalo Cabrera vs Selangor

Gonzalo Cabrera, Diogo Santo dan Leandro Velazquez adalah tiga watak utama yang memusnahkan Selangor di hadapan penyokong mereka sendiri pada hujung minggu lalu. Dan jaringan oleh Cabrera adalah bukti nyata kepada kecemerlangan tiga pemain tersebut dalam perlawanan ini.

Bermula dari hantaran Leandro yang menemui Diogo di bahagian tengah luar kotak penalti, bekas penyerang Buriram itu melakukan pusingan badan untuk melakukan lorongan kepada Cabrera di dalam kotak penalti. Pemain kelahiran Argentina itu tidak mensia-siakan peluang dengan rembatan kaki kiri deras yang tidak memberikan peluang kepada Khairul Azhan.

1. Endrick Dos Santos vs JDT

Selangor ibarat tiada jawapan ketika berhadapan dengan serangan pasukan JDT dalam perlawanan ini. Apa tidaknya. Perlawanan baru berusia 15 minit, ketika JDT sudah mendahului perlawanan dengan kelebihan dua jaringan.

Tatkala Selangor seperti mati akal, Endrick Dos Santos bangkit memberi inspirasi kepada rakan sepasukan yang lain dengan gol cantik ini. Mengawal bola dari bahagian tengah, pemain kelahiran Brazil ini melepaskan percubaan kaki kanan deras yang tidak memberikan peluang kepada Farizal. Selangor mungkin tewas perlawanan ini. Namun jaringan tersebut mengingatkan potensi yang pasukan ini miliki -dijadikan inspirasi untuk bangkit pada perlawanan seterusnya.

Rumusan

Tiga daripada lima jaringan di atas diambil dari perlawanan diantara Selangor menentang JDT. Gandingan Cabrera-Diogo dan Leandro telah menjadi perhatian.

Ia adalah perlawanan tumpuan pada hujung minggu lalu. Menjadikan ianya lebih menarik, enam gol turut dihidangkan.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN