Ada berita yang telah mengejutkan peminat bola sepak di Kota Singa. Pentadbiran Persatuan Bolasepak Singapura (FAS) mengarahkan 8 kelab yang beraksi dalam Liga Perdana Singapura itu agar berkongsi stadium.
Siapa mangsa?
Daripada 9 pasukan, hanya Brunei DPMM sahaja kekal bermain di Stadium Nasional Hassanal Bolkiah di Bandar Seri Begawan, Brunei.
Peraturan ini akan terpakai mulai musim ini yang akan bermula tidak lama lagi.
Bishan Stadium akan menjadi laman sendiri buat Home United dan Balestier Khalsa. Manakala Stadium Jalan Besar akan digunakan oleh Hougang United dan Young Lions.
Kemudiannya, Warriors bersama Albirex Niigata akan berkongsi untuk menggunakan Jurong East Stadium sebagai laman sendiri. Terakhir, Our Tampines Hub pula dipakai oleh Geylang International dan Tampines Rovers.
Pelbagai sudut
Ada penyokong yang menyokong perlaksanaan sebegini. Tidak kurang juga yang membantah.
Stanley Wong, seorang penyokong Geylang menerima dengan terbuka implementasi ini. Ketika ditemuramah Straits Times, beliau menyatakan stadium (Our Tampines Hub) mempunyai fasiliti yang terbaik.
Sebelum ini, Geylang menggunakan Bedok Stadium yang pada pendapatnya mempunyai padang teruk dan tidak sesuai sama sekali untuk aksi liga bola sepak profesional.
Mervin Tan, penyokong Hougang United membantah idea perpindahan ini. Beliau merasakan stadium lama (Hougang Stadium) lebih dekat di hati para penyokong mereka.
Tetapi, perpindahan itu tidak menjadi masalah kepada penyokong untuk bertandang ke stadium.
Sementara?
Channel News Asia melaporkan perpindahan dan perkongsian stadium ini bersifat sementara. Seorang pegawai FAS memberitahu penggunaan stadium secara optimum dapat membantu venue itu untuk menjadi lebih fokus menganjurkan perlawanan bola sepak.
Perpindahan juga membantu usaha untuk menaik taraf fasiliti yang berkaitan. Akan ada stadium yang akan dipasang skrin LED dan Internet berkelajuan tinggi.
FAS juga telah bertemu dengan para penyokong. Sebagai contoh, mereka sudah memaklumkan fasiliti yang digunakan Hougang United akan dinaiktaraf.
Walaupun ada peminat Hougang menganggap langkah ini akan menghilangkan identiti Hougang.
Sekurang-kurangnya FAS ada sesuatu untuk membangunkan bola sepak Singapura. Memandangkan ada 9 pasukan dalam Liga Perdana Singapura, wajarlah ada satu kelab di Malaysia menyertainya untuk menggenapkan angka kepada 10.