Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dijangka akan mengumumkan pengganti P. Maniam yang direhatkan pertengahan bulan lalu ekoran kemerosotan prestasi skuad itu dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).
Naib Presiden FAS, Datuk Abdul Rauf Ahmad memberitahu kepada kosmo, penolong jurulatih, Muhammad Nazliazmi Mohamad Nasir tetap menjadi pilihan utama meskipun dikhabarkan penolong jurulatih Kuantan FA, Rusdi Suparman turut berada dalam radar pihak pengurusan.
“Nama Rusdi telah menjadi bualan sebagai pengganti Maniam kerana beliau tidak terikat kontrak dengan Kuantan FA musim ini.
“Namun kami tetap akan membincangkan perkara ini dengan lebih mendalam serta mendapat persetujuan majoriti dari Exco FAS.
“Bagaimanapun Nazliazmi tetap menjadi pilihan utama FAS buat masa ini disebabkan beliau mempunyai pengalaman hampir lima tahun bersama pasukan,” katanya.
Maniam telah direhatkan berikutan prestasi yang kurang konsisten sepanjang Liga M selepas skuad Gergasi Merah mengalami kekalahan besar tiga kali berturut-turut.
Selangor memerlukan segera ketua jurulatih memandangkan skuad Gergasi Merah bakal berdepan perlawanan besar pada peringkat suku akhir Piala FA bertemu Kuala Lumpur 7 April ini.
“Kami memerlukan jurulatih yang sesuai untuk mengendalikan pasukan untuk mara ke peringkat separuh akhir seterusnya merangkul kejuaraan Piala FA musim ini.
“Buat masa ini FAS melihat Nazliazmi sebagai calon terbaik selepas mempunyai keserasian bersama pemain yang rata-ratanya datang dari skuad Piala Belia dan Piala Presiden.
“Bagaimanapun kita perlu mengikut prosedur terlebih dulu serta mendapatkan suara majoriti dalam mesyuarat khas FAS sebelum menentukan sebarang keputusan,” ujarnya.