Kapten skuad kebangsaan, Farizal Marlias menaruh keyakinan bahawa rakan sepasukannya mampu untuk menghadapi tekanan berikutan kebanjiran penyokong tuan rumah pada aksi sulung Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bertemu Indonesia, malam esok.
Puluhan ribu penyokong setia skuad Garuda tersebut sudah pasti akan membanjiri segenap ruang di Stadium Utama Gelora Bung Karno bagi memberikan sokongan buat skuad bimbingan Simon McMenemy itu.
”Saya percaya para pemain sudah biasa dengan tekanan yang mereka hadapi, di mana di Liga Malaysia juga mempunyai penyokong yang ramai pada setiap perlawanan. Saya rasa itu bukan merupakan isu yang besar tentang tekanan.”
”Saya berharap pemain-pemain juga bersedia dari segi fizikal dan mental untuk perlawanan pada malam esok dan mereka dapat menyesuaikan diri dengan tekanan yang bakal kami hadapi,” jelas Farizal bercakap pada sidang media pra-perlawanan di Jakarta.
Ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe turut senada dengan Farizal berhubung tekanan yang bakal diterima anak buahnya nanti.
”Kita tahu ribuan penonton akan datang berikan sokongan kepada pasukan Indonesia. Seperti yang Farizal beritahu, kapten saya, saya rasa pemain-pemain Malaysia sudah biasa bermain dihadapan ribuan penonton.”
”Tetapi bagi saya, setiap pemain perlu mengawal emosi, tidak boleh disebabkan gangguan penyokong menyebabkan hilang konsentrasi.”
”Pada masa yang sama saya rasa, kami perlu pamerkan satu permainan yang menghiburkan. Sudah tentu kita tidak mahu sebarang insiden melibatkan pemain kedua-dua pasukan. Pada saya, ‘football comes first’.”
Kredit foto: FAM