Pengendali Selangor, P. Maniam menepis khabar angin mengaitkan bekas bintang Lions XII, Faris Ramli sebagai pemain import ke-5 pasukan Selangor.
Selangor setakat ini sudah mengesahkan 4 pemain import yang akan mewakili mereka, 2 daripadanya adalah dari Indonesia. Mereka ialah Rufino Segovia, William Pacheco, Evan Dimas dan Ilham Armayin.
P. Maniam lebih menumpukan aspek latihan pra-musim dan persediaan untuk jelajah pra-musim di Indoensia bermula 7 sehingga 17 Januari 2018. P. Maniam memberitahu Stadium Astro:
“Saya menganggap ini sebagai khabar angin dan buat masa ini, kami memberikan tumpuan kepada pemain-pemain yang sedia ada bersama Selangor.”
Seterusnya, P. Maniam mengesahkan buat masa ini, pihak Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) hanya merancang untuk menggunakan 4 pemain import bagi menghadapi musim hadapan.
Sementara itu, bekas pemain Pahang dan JDT, Azamuddin Akil yakin akan dapat membantu Selangor menamatkan liga dalam kelompok 3 teratas musim hadapan.
Azamuddin Akil juga memberitahu hasrat beliau untuk membantu Selangor memenangi satu piala pada musim 2018.
“Saya menyertai Selangor dengan cita-cita untuk membantu pasukan berada dalam kelompok tiga terbaik dan cuba untuk mendapatkan satu piala pada musim depan.”
Azamuddin Akil juga masih mengimpikan untuk kembali menyarung jersi Harimau Malaya.
Musim lalu, pasukan Selangor menamatkan saingan liga di tangga ke-6. Ianya hasil daripada 9 kemenangan, 6 seri dan 7 kali kekalahan.