Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) mengambil langkah drastik dengan melantik panel berpengalaman untuk menilai pengambilan pemain import baru bersama pasukan tersebut untuk musim 2018.
FAP mengambil kaedah tersebut sebagai persedian untuk mengurangkan risiko mengikat pemain import yang tidak berkualiti. Sebelum ini, FAP dilihat antara pasukan di Malaysia yang telah gagal membawa tonggak import yang berkualiti bersama pasukan.
Perkara tersebut membuatkan persatuan terpaksa menamatkan kontrak pemain-pemain import yang telah gagal menyerlah pada seawal separuh musim saingan liga. Hal ini menyebabkan persatuan harus menangung kos kewangan yang tinggi setiap musim.
Menurut sumber dalaman FAP, kaedah ini terlebih dahulu dilakukan dengan Ketua Jurulatih, Zainal Abidin Hassan akan menyenaraikan nama pemain import kepada panel yang dilantik untuk memilih calon terakhir pemain sebelum ditawarkan kontrak bersama pasukan.
Semalam, FAP telah mengumumkan 19 senarai nama pemain rasmi bersama pasukan musim depan. Hanya penyerang import dari Gambia sahaja iaitu Sanna Nyassi yang dikekalkan oleh persatuan.
Selain itu, FAP kini difahamkan sedang giat berusaha memburu tiga lagi kuota import untuk membantu pasukan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.