Sri Pahang bakal menghadapi aksi suku akhir pertama mereka untuk saingan Piala Malaysia 2023 dengan pertemuan seterusnya berdepan Kuala Lumpur City (KL City) pada Ahad ini.
Bermain di gelanggang lawan, pastinya ia bukan sesuatu yang mudah untuk dihadapi oleh para pemain kendalian Fandi Ahmad dalam misi mereka untuk cuba melakar keputusan positif sebagai bekalan ke aksi seterusnya.
Musim ini, Sri Pahang boleh dianggap sebagai antara pasukan yang sangat mencuri tumpuan selepas merekodkan keputusan konsisten dalam persaingan liga walaupun kurang diberi tumpuan pada awalnya.
Hasil beberapa rombakan dibuat pasukan tersebut dengan menandatangani beberapa pemain tempatan serta import baharu, jelas Sri Pahang tampil lebih baik berbanding musim lalu dalam aksi Liga Malaysia (Liga M).
Ianya juga dibuktikan pada aksi Piala Malaysia kini, setelah pasukan tersebut tidak mengalami sebarang masalah besar untuk mengetepikan Harini FT pada pusingan 16 terbaik sebelum mara ke suku akhir.
Walaupun begitu, Sri Pahang bakal menghadapi cabaran sebenar mereka pada Ahad ini untuk berdepan KL City yang kini turut berada dalam momentum terbaik sejak beberapa perlawanan lalu.
Fandi ketika ini menyatakan segalanya terserah kepada usaha penuh para pemain sendiri untuk menentukan kemenangan mereka pada perlawanan tersebut kerana beliau menyifatkan aksi itu sebagai terbuka.
“Cuma ia terpulang kepada pemain untuk mempamerkan preestasi terbaik dalam usaha untuk melangkah lebih jauh dalam saingan Piala Malaysia musim ini.
“Bagi saya perkara utama yang perlu dilakukan pemain ialah mempamerkan displin tinggi dan membentuk persefahaman sepanjang tempoh perlawanan.
“Jika ia dapat dilakukan, peluang untuk mencatat kemenangan ke atas KL City di tempat lawan ada sebagai bekalan apabila beraksi pada perlawanan kedua di Kuantan nanti,” katanya menerusi laporan dikeluarkan oleh Harian Metro.
Pada masa sama, pengendali dari Singapura itu juga menyatakan status pemain import mereka iaitu Kevin Ingreso masih lagi belum pulih daripada status kecederaan untuk dibawa turun beraksi.
Namun, ianya sedikit positif kini selepas penyerang berbisa Sri Pahang iaitu Kpah Sherman yang sebelum itu mengalami isu kecederaan sudah pulih dan sedia disenaraikan untuk bertemu KL City.
“Diharapkan segalanya mengikut perancangan dan memastikan jaringan dapat dilakukan di tempat lawan.
Jaringan itu sebagai motivasi apabila beraksi di Kuantan biarpun KL City dilihat cukup sempurna di posisi serangan, tengah dan pertahanan,” katanya akhir sekali.