Liga Super: Ketajaman Aguero Pastikan Sri Pahang Mudah Atasi Kelantan United

Pemain tengah Sri Pahang, Sergio Aguero antara paling mencuri tumpuan selepas ketajamannya memastikan pasukan tersebut meraih kemenangan besar 5-1 di Stadium Sultan Muhammad ke-IV untuk mengatasi Kelantan United.

Pada aksi tersebut, Aguero cemerlang meledak dua gol buat Sri Pahang, selain Azrif Nasrulhaq, Kpah Sherman, serta David Rowley masing-masing mencatat nama selaku penjaring perlawanan.

Satu gol sagu hati tuan rumah pula dihasilkan menerusi Royyizat Daud pada separuh masa kedua, selepas mereka tampil dengan sangat longlai khususnya babak pertama permainan.

Awal perlawanan menyaksikan Sri Pahang jelas lebih mendominasi perlawanan menerusi pelbagai gerakan disusun untuk cuba mendapatkan jaringan awal.

Walaupun beberapa siri serangan berjaya dicipta pelawat, jelas pertahanan Kelantan United tidak membiarkan Sri Pahang sewenang-wenangnya memasuki petak penalti untuk tidak membenarkan gol awal terhasil.

Malah, sesekali Kelantan United juga berjaya mencipta situasi serangan balas pantas untuk mengkucar kacirkan pertahanan pelawat, namun gagal untuk diterjemahkan ke arah bentuk jaringan.

Sri Pahang akhirnya terlebih dahulu berjaya memperoleh jaringan pertama mereka pada minit ke-10 menerusi satu rembatan jarak jauh daripada Azrif Nasrulhaq untuk menewaskan penjaga gol lawan, Ilham Amirullah.

Pelawat sekali lagi memperoleh gol kedua mereka dengan kali ini giliran Sergio Aguero pula menambah derita Kelantan United selepas rembatan deras beliau gagal diselamatkan penjaga gol lawan pada minit ke-22.

Kelantan United seolah kehilangan punca di posisi pertahanan mereka setelah kekebalan dicipta mereka begitu mudah diatasi pelawat walaupun berkelebihan di halaman sendiri.

Lima minit berselang, Aguero terus menghadiahkan kegembiraan buat penyokong Sri Pahang menerusi gol ketiga perlawanan hasil satu hantaran cantik daripada Kpah Sherman untuk kekal selesa di separuh masa pertama.

Walaupun Kelantan United berjaya memperoleh jaringan pada penghujung separuh masa pertama hasil sepakan percuma, namun ianya dibatalkan pengadil kerana dua pemain tuan rumah sudah pun berada dalam keadaan offside.

Bersambung di separuh kedua, tidak banyak perubahan dapat dilakukan oleh Kelantan United, dengan Sri Pahang terus konsisten mendominasi perlawanan bersama siri serangan berbahaya.

Sesekali tuan rumah cuba mencipta kebangkitan menerusi kelincahan Syazwan Zainon serta Ismaheel Akinade untuk menguji ketangkasan Zarif Irfan yang tidak begitu diuji di separuh masa pertama.

Beberapa kali Kelantan United berjaya mencipta siri serangan lebih menyakinkan di separuh masa kedua, namun gol yang dicari mereka masih belum ditemui selepas 60 minit aksi berlangsung.

Kpah Sherman tampil selaku penjaring keempat buat Sri Pahang selepas tandukan beliau pada minit ke-66 setelah menerima hantaran cukup baik daripada Lucas Espindola dalam petak penalti.

Pada penghujung perlawanan, Kelantan United terus menggandakan asakan mereka dengan siri serangan bertali arus untuk cuba mendapatkan satu gol sekurangnya.

Akhirnya gol yang dicari berjaya dilakar oleh Kelantan United pada minit ke-77 menerusi pemain gantian, Royyizat Daud hasil gerakan lincah beliau dalam petak penalti lawan.

Saat permainan dijangka tamat tanpa perubahan, tampil David Rowley untuk menambah gol kelima buat Sri Pahang pada masa tambahan untuk terus menambah derita buat tuan rumah.

Keputusan perlawanan kekal dengan kemenangan berpihak buat Sri Pahang menerusi keputusan penuh 5-1 selepas mereka cemerlang menundukkan Kelantan United di Kota Bharu.

Kesebelasan utama

Kelantan United: Muhamad Ilham Amirullah Razali (Penjaga gol), Muhammad Khairu Azrin Khazali, Jose Elmer Porteria, Muhamad Hafiy Haikal Ismail, Mohamad Fandi Othman, Dominik Balic, Mohd Syazwan Zainon (Kapten), Ismaheel Akinade, Nik Azli Nik Alias, Ariff Ar-Rasyid Ariffin, Muhammad Azarul Nazarith Azhar

Sri Pahang: Muhammad Zarif Irfan Hashimuddin (Penjaga gol), Kevin Langbehn Ingreso, Lucas Espindola da Silva, Kuvondik Ruziev, Kpah Sean Sherman, Stefano Brundo, Sergio Fabian Ezequiel Aguero (Kapten), Muhamad Nor Azam Abdul Azih, Mohamad Azwan Mohd Aripin Mohamad Fadhli Mohd Shas, Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN