Bukan hanya saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang ditangguhkan, malah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut membuat keputusan untuk membatalkan latihan pusat skuad kebangsaan pada bulan ini ekoran kembimbangan penularan wabak COVID-19 yang semakin serius di negara ini.
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dalam laporan Sinar Harian menjelaskan, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mempunyai garis panduan yang perlu dipatuhi oleh pihaknya dalam menangani situasi berkenaan.
Keputusan tersebut dibuat bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan semua pihak terutamanya pemain dan pegawai pasukan dan ianya bukanlah satu keperluan memandangkan tiada aksi skuad Harimau Malaya yang akan berlangsung dalam masa terdekat.
Datuk Haji Hamidin: Keputusan Diambil Untuk Kebaikan Semua https://t.co/CjKWHO6ZbG pic.twitter.com/AuuUBN3JS8
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) March 13, 2020
“Sebelum ini, kami telah merancang untuk mengisi perlawanan domestik ke dalam slot perlawanan antarabangsa memandangkan tiada sebarang perlawanan persahabatan yang melibatkan pasukan kebangsaan pada bulan ini.
“Namun, cadangan itu tidak dapat diteruskan kerana kita mahu mengutamakan keselamatan semua pihak kerana kita sedar wabak COVID-19 ini adalah permasalahan global, maka kami harus mengambil langkah proaktif dan melaksanakan keputusan demi kepentingan dan kesejahteraan semua pihak,” kata Hamidin.
Skuad kebangsaan sepatutnya bakal mengharungi tiga perlawanan pada bulan ini iaitu aksi persahabatan menentang Bahrain yang dijadualkan pada 21 Mac sebelum berdepan UAE dan Vietnam dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.
FAM Rangka Pelan Alternatif Ganti Aksi Menentang Bahrain https://t.co/O36B8qUxkG pic.twitter.com/bCIm4SVuU3
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) February 24, 2020
Namun kerajaan Bahrain telah memberi arahan untuk membatalkan aksi persahabatan tersebut dan diikuti oleh arahan oleh AFC untuk menangguhkan perlawanan kelayakan sehingga notis selanjutnya menyusul.
“Jadi tiada panggilan latihan pusat skuad kebangsaan dan perlawanan persahabatan sehingga wabak ini selesai. Marilah kita semua berdoa agar wabak Covid-19 dapat ditangani segera dan kita akan dapat meneruskan semula saingan bola sepak dan juga aksi skuad Harimau Malaya di pentas antarabangsa,” ujarnya lagi.
Kredit Foto: FAM