Liga Premier 2020: TFC II Masih Kebal

Pertembungan di antara dua pasukan pantai timur dalam saingan Liga Premier menyaksikan pasukan simpanan, Terengganu FC (TFC) II menumpaskan Kelantan 2-1 dalam perlawanan yang dilangsungkan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada Jumaat.

Kedua-dua pasukan beraksi di dalam stadium kosong selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang bermesyuarat pada pagi Jumaat memutuskan supaya semua perlawanan pada Jumaat, Sabtu dan Ahad ini berlangsung tanpa penonton berikutan penularan wabak COVID-19.

Kemenangan yang diraih TFC II itu memastikan pasukan tuan rumah masih mengekalkan rekod kemenangan 100 peratus dalam empat perlawanan liga pada musim ini dan menjarakkan kedudukan selaku pendahulu dengan kelebihan lima mata.

Sungguhpun beraksi tanpa kehadiran penyokong, kedua-dua pasukan tetap mempamerkan aksi yang baik dengan saling berbalas serangan sebaik sahaja wisel permulaan ditiup pengadil perlawanan, Fitri Maskon.

Pasukan pelawat yang masih segar dengan kemenangan ke atas Kelantan United tempoh hari terlebih dahulu membuka jaringan menerusi tandukan penyerang import, Felix Odili pada minit ke-31.

Namun TFC II tidak menunggu lama untuk memadam kegembiraan anak buah Yusri Che Lah itu setelah dua minit kemudian penyerang sensasi dari Nigeria, Jordan Mintah meledak gol cantik menerusi rembatan voli selepas menerima hantaran bijak Bruno Suzuki.

Kredit Foto: TFC II

Selepas satu jam perlawanan berlangsung, TFC II akhirnya mendapat gol pendahuluan yang dicari-cari apabila penjaga gol Kelantan, Mohamad Faridzuan Kamaruddin gagal membaca sepakan penjuru yang diambil Muhammad Zulasyraf Zulkifle yang terus melencong masuk ke gawang gol.

Kelantan cuba untuk bangkit mencari gol penyamaan pada penghujung perlawanan namun kedudukan 2-1 kekal sehingga pengadil meniup wisel penamat dan mengesahkan tiga mata buat pasukan tuan rumah.

Keputusan itu menyaksikan rekod tanpa kalah Kelantan lebur selepas mengharungi dua perlawanan sebelum ini sewaktu menentang Kuala Lumpur (1-1) dan Kelantan United (2-0).

Kredit Foto: TFC II

Leave a Reply