Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menetapkan sasaran awal untuk melihat skuad kendalian Tan Cheng Hoe melangkah ke perlawanan akhir Piala AFF tahun ini.
Presidennya Datuk Hamidin Mohd Amin yakin dengan kemampuan skuad Harimau Malaya meskipun sering mempamerkan prestasi yang tidak menentu dalam beberapa persahabatan baru-baru ini.
“Kadang-kadang dalam bola sepak kita sukar nak faham, pasukan Datuk Ong Kim Swee (skuad Bawah 23 tahun) kalahkan Korea Selatan di Jakarta dan kita hanya ada dua peluang tapi kita jaringkan dua gol untuk menang.
“Semalam kita ada 15 peluang untuk jaringkan gol tapi tak boleh, akhirnya kita kalah. Tapi kita tidak boleh sekadar lihat persembahan di dalam padang kerana keputusan juga mustahak.
“Kita tunggu perlawanan dengan Maldives dan Piala AFF, kita kena bagi ruang kepada Cheng Hoe.
“Dulu Nelo (Vingada) tak pernah menang dan sekarang (Cheng Hoe) ada empat menang tiga kalah dan satu seri, jadi ada peningkatan,” katanya seperti dipetik dalam Berita Harian.
Harimau Malaya kini dalam fasa persiapan terakhir dan akan berjumpa Maldives di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada 3 November sebelum mengharungi kempen Kumpulan A Piala AFF menentang Kemboja, Laos, Vietnam dan Myanmar, bermula 8 November.
Bagaimanapun FAM tidak akan bersikap terburu-buru untuk mengambil tindakan terhadap jurulatih andai sasaran diletakkan itu gagal dicapai.
“Saya sudah umumkan dulu lagi, sejak dipilih sebagai presiden, sasaran untuk Sukan SEA tahun depan dan Piala AFF adalah final, tapi bukan bila tak masuk saya akan pecat beliau (jurulatih). Kita ada analisa kita sendiri nanti,” kata Hamidin.