Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam mengesahkan kontrak ketua jurulatih skuad Malaysia bawah 19 tahun (B-19), Bojan Hodak tidak dilanjutkan pada penghujung bulan Julai ini.
Menurut laporan daripada Stadium Astro, Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM kali kelapan yang diadakan di ibu negara baru-baru ini telah sebulat suara untuk tidak menggunakan lagi khidmat pengendali dari Croatia itu.
“Kami telah mengambil keputusan untuk tidak melanjutkan kontrak Bojan selaku ketua jurulatih skuad B-19 negara,” kata Stuart Ramalingam.
Bulan Mac lalu, Bojan Hodak dikecam hebat oleh beberapa pihak kerana mengkritik sistem pembangunan akar umbi bola sepak Malaysia selepas skuad bimbingannya tewas dalam saingan peringkat kumpulan pada Kejohanan Piala Sanix di Jepun.
Situasi itu menyebabkan beliau telah diberi surat tunjuk sebab oleh FAM untuk menjelaskan kenyataannya di media yang menimbulkan rasa kurang senang daripada badan induk bola sepak negara itu.
Malah, bekas pemain kebangsaan di era 70 an dan 80 an, Datuk Jamal Nasir turut mahukan Bojan Hodak dihukum memandangkan jurulatih tempatan sebelum ini pernah berdepan hukuman penggantungan atas kesalahan yang sama.
Stuart bagaimanapun, menafikan dan menjelaskan keputusan pemecatan Bojan Hodak itu tidak ada kena mengena dengan kritikan bekas jurulatih Kelantan itu terhadap sistem pembangunan bola sepak negara
“Luahan perasaan tiada kaitan dengan keputusan ini. Kami hanya memberikan keutamaan kepada pembangunan skuad ini,” ujarnya.
Penolong jurulatih kepada Datuk Ong Kim Swee dalam skuad B-23 negara iaitu Brad Maloney kemungkinan besar akan dilantik sebagai ketua jurulatih skuad B-19 negara bagi menggantikan tempat Bojan Hodak.
“Kami sedang berbincang dalam usaha untuk menggunakan jurulatih dalam FAM dengan sebaik mungkin,” katanya lagi.
Sepanjang melatih skuad bawah 19 tahun negara, Bojan Hodak telah membawa Malaysia muncul sebagai juara Piala AFF B-19 buat pertama kali dalam sejarah pada tahun lepas dan berjaya menempah tiket beraksi di pusingan akhir Kejohanan AFC B-19 di Indonesia.