FAM Tak Pernah Lupa F:30, Malah Menjadi Sasaran Utama Pada Tahun Ini Untuk Diperkasakan

Program pembangunan akar umbi dalam usaha untuk melahirkan lebih ramai pemain berkualiti negara tidak pernah sesekali diambil ringan atau dibekukan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) seperti yang dipertikaikan oleh sesetengah pihak setelah badan utama bola sepak negara itu dilihat seolah mengambil ringan mengenai masa depan sukan berkenaan.

Mohd Saifuddin Abu Bakar selaku Setiausaha Agung FAM menjelaskan program akar umbi negara sentiasa dipantau dan dipertingkatkan seperti termaktub dalam Peta Hala Tuju atau F:30 yang telah dilancarkan pada tahun 2018 dengan menjadikan organisasi utama bola sepak tanah air itu sebagai antara lima negara yang terbaik di Asia dari segi tadbir urus menjelang tahun 2030.

Saifuddin berkata, pihaknya di FAM sentiasa mengambil serius mengenai program pembangunan akar umbi seperti yang telah disarankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan berusaha untuk merealisasikan impian semua pihak untuk melihat Malaaysiaa sebagai salah sebuah negara kuasa bola sepak di rantau Asia.

“Kita tidak lari daripada F:30 itu dan mungkin pasukan kebangsaan akan mencapai sasaran seperti Vietnam pada 2030 seperti yang direncanakan dalam program itu.

“Mungkin sasaran itu akan dapat dicapai lebih cepat lagi seperti Jepun yang meletakkan visi kejayaan bola sepak mereka dalam tempoh 100 tahun namun berjaya merealisasikannya dalam 30 tahun saja.

“Program F:30 tidak pernah dimansuhkan atau disimpan seperti yang diperkatakan pihak tertentu. Dari semasa ke semasa FAM akan mengumumkan perkembangan elemen-elemen dalam F:30 mengikut peratusan. Apa yang direncanakan berjalan seperti biasa cuma perlahan sejak kebelakangan ini kerana pandemik Covid-19,” katanya kepada Harian Metro.

Semalam, Arena Metro telah melaporkan mengenai Perdana Menteri yang mahu pengurusan bola sepak dalam negara ini mengambil contoh pendekatan yang digunakan oleh Chelsea dan mengambil contoh pengurusan Vietnam dalam memastikan skuad negara mencapai kejayaan yang gemilang.

Beliau yang merupakan peminat fanatik Chelsea turut memberi pandangan mengenai pasukan itu yang mempunyai ekosistem bola sepak yang sistematik terutama sekali mengenai pembangunan akar umbi hingga kini mampu menuai hasil yang positif.

Malaysia juga mampu menghasilkan pemain bagus dan mempunyai bakat besar sekiranya program pembangunan akar umbi diperhebatkan yang bermula dari segenap daerah dan seterusnya ke peringkat negeri seperti yang dikatakan oleh Ismail Sabri.

Selain itu, FAM juga mempunyai iltizam untuk membudayakan bola sepak di peringkat akar umbi menerusi gambaran penganjuran Liga Suparimau bagi kategori pemain berusia 6 hingga 16 tahun di 12 penempatan lima negeri bermula tahun ini, dengan segala maklumat penting mudah didapati di laman web dan aplikasi yang boleh dimuat turun.

Sumber:

Leave a Reply