Kelmarin aksi derbi utara, Perak menentang Kedah dalam saingan Liga Super berlangsung dalam suasana kontroversi apabila pegawai pasukan Kedah melakukan bantahan mengenai pemilihan pengadil ke 4 dalam perlawanan itu.
Ia susulan insiden pengadil utama, Hamdan Awang mengalami kecederaan yang menyebabkan beliau terpaksa digantikan. Kedah membantah kemasukan pengadil ke 4, Abdul Halim Mohd Ramlan kerana pengadil itu berasal dari Perak.
Situasi itu berlaku buat kali pertama dalam sejarah Liga Super dan tahap kecergasan pengadil tersebut dipersoalkan oleh pengkritik bola sepak tempatan.
Mengulas mengenai insiden tersebut, Timbalan Presiden Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Yusoff Mahadi berkata, amalan untuk meletakkan pegawai perlawanan keempat dalam kalangan anak negeri sudah lama diamalkan dan kini badan induk tersebut perlu melihat semula perkara itu.
“Ini kes terpencil kerana semua perlawanan kita meletakkan anak negeri sebagai pegawai perlawanan keempat, bagaimanapun, kami tidak menjangka perkara sebegini boleh berlaku. Isu timbul apabila pegawai perlawanan keempat berasal dari Perak dan perlawanan tersebut melibatkan Perak.
“Kita sudah mempraktikkan perkara ini lama dan apabila perkara seperti ini berlaku kami perlu membuat penambahbaikkan agar perkara sama tidak berulang,” katanya dalam utusan malaysia
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, ACP Md. Dali Wahid berkata, seseorang pengadil perlu melepasi ujian kecergasan terlebih dahulu sebelum mereka dipilih untuk mengadili perlawanan dalam Liga Malaysia (Liga M).
“FAM akan menyiasat perkara ini dengan memanggil pengadil tersebut. Kami mahu melihat tahap kecergasan pengadil itu sama ada dia benar-benar cergas atau sebaliknya. Jika tidak cergas kami perlu merehatkan dia daripada mengadili mana-mana perlawanan.
“Perkara ini berada di luar kawalan kerana kami sudahpun melakukan ujian kecergasan sebelum memilih pengadil, malah, turut melakukan latihan setiap bulan. Bagaimanapun, sudah menjadi tanggungjawab pengadil untuk menjaga tahap kecergasan,” katanya.
Insiden ini akan diperbincangkan lebih lanjut pada mesyuarat Jawatankuasa Pengadil FAM yang akan datang pada 18 Februari ini untuk tindakan selanjutnya.