Quantcast

BERITA

Pemain Perlis Tetap Professional Walaupun Gaji Tidak Dibayar

Meskipun dilanda masalah tunggakan gaji selama dua bulan, barisan pemain skuad Singa Utara mempamerkan sikap profesional apabila membantu pasukan itu menewaskan UiTM FC 3-0 dalam aksi Liga Premier semalam.

Malah baru-baru ini timbul khabar angin mengatakan beberapa pemain Perlis akan membuat keputusan untuk menyertai pasukan lain namun ia pantas dinafikan oleh Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), Datuk Ahmad Amizal Shaifit.

Walaupun kelibat penyerang pasukan itu, Khyrill Muhymeen tidak kelihatan ketika aksi pertama menentang UKM tempoh hari, Khyrill berjaya pamer aksi cemerlang apabila menjaringkan dua gol bagi membantu Perlis meraih tiga mata penuh.

“Saya sangat gembira apabila menjaringkan dua gol dalam perlawanan. Ia merupakan hasil berkat keluarga serta penyokong skuad Perlis,” katanya dalam Stadium Astro.

Beliau turut mengingatkan persatuan itu agar segera menyelesaikan isu gaji tertunggak dengan memberi peluang sehingga April depan sebelum membuat tindakan susulan.

FOTO: Northern Lions Perlis

Beliau juga tidak akan teragak-agak meninggalkan pasukan jika ia kekal berlarutan sehingga April depan.

“Kalau pengurusan tidak mampu nak bayar gaji saya dan tunggakan gaji terus berlarutan selama beberapa bulan, buat apa saya nak terus beraksi (bersama Perlis).

“Saya harap pihak pengurusan boleh melakukan inisiatif untuk mencari penaja dan mengekalkan pasukan ini dalam saingan Liga Perdana,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Amizal sedang dalam usaha menyediakan segala dokumen kewangan badan induk itu untuk diserahkan kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Kelmarin, MFL telah meminta Perlis dan beberapa lagi pasukan yang mengalami masalah kewangan untuk menyerahkan dokumen kewangan masing-masing bagi tindakan susulan.

“Kami telah memberitahu perancangan kami kepada MFL dan pemain juga memahami keadaan ini.

“Kami ada satu perancangan yang jelas,” kata Ahmad Amizal.