Usaha komuniti Cina dalam mengangkat serta memartabatkan bola sepak tanah air telah mendapat pujian daripada Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin.
Sehubungan dengan itu menurut sumber Facebook rasmi FAM, Datuk Hamidin melihat peluang untuk terus memberikan kerjasama serta membantu Persatuan Bolasepak Cina Malaysia (MCFA) dalam mempromosikan bola sepak dalam kalangan komuniti Cina.
“Kami akan bekerjasama dengan MCFA dengan melancarkan program khas bagi menarik penyertaan lebih besar dalam kalangan komuniti Cina, sama ada sebagai pemain, pengadil, jurulatih mahupun pegawai.”
“Bermula dengan era 70-an, kita mempunyai aset negara seperti Dato’ Soh Chin Aun, Wong Choon Wah kemudian Lim Chan Yew, Wong Sai Kong, Wong Kah Loon, Chan Wing Hoong, dan hari ini kita ada Dominic Tan dan Damien Lim.
”Kita juga ada Tan Cheng Hoe, Datuk Ong Kim Swee dan Chiew Chun Yong yang menyumbang tenaga dalam barisan kejurulatihan.”
”Maka, kita perlu meningkatkan usaha bersama dalam mempromosikan lagi sukan ini dalam segala aspek.”
Dalam perkembangan yang sama, Datuk Haji Hamidin berkesempatan mengetuai delegasi FAM melakukan kunjungan hormat ke atas MCFA di Bukit Jalil.
Antara agenda perbincangan hasil kunjungan tersebut berkisarkan tentang kekurangan penglibatan pemain berbangsa Cina dalam bola sepak pada ketika ini.
“Kita bukan sahaja akan memberi pandangan namun membuka perbincangan telus serta terbuka agar ahli gabungan terus terbela dalam usaha memacu bola sepak negara.
“Menerusi sesi dialog di sini, kami berpeluang berinteraksi dengan lebih dekat dengan persatuan mahupun ahli gabungan serta mendengar segala isu dibangkitkan untuk diselesaikan bersama,” tambah Datuk Haji Hamidin.
Turut sama menyertai kunjungan tersebut bagi mengiringi Datuk Haji Hamidin adalah dua Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi dan Dato’ Sri Subahan Kamal bersama-sama dua Naib Presiden FAM, Dato’ S Sivasundaram dan Mohd Joehari Mohd Ayub serta exco FAM, Datuk Mohd Hisamudin Yahaya.
MCFA pula diwakili oleh Presidennya Dato’ Datuk Jefferey Low Han Chau dan Timbalan Presiden, Dato’ Wilson Lau Hoi Keong bersama barisan kakitangan dan exco.