Quantcast

BERITA

Piala Malaysia 2019: Syahmi Safari Seru Penyokong Red Giants Turun ke Stadium Shah Alam

Tugas getir menanti pemegang rekod juara 33 kali Piala Malaysia, Selangor yang akan melayani kunjungan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk perlawanan separuh akhir kedua pada Sabtu ini.

Justeru itu, bintang muda Selangor, Muhammad Syahmi Safari mengharapkan penyokong Selangor dapat turun beramai-ramai ke Stadium Shah Alam untuk membeikan sokongan padu dan mengembalikan aura di stadium keramat mereka itu.

“Sorakan dan sokongan padu daripada penyokong pasti akan menambahkan lagi semangat semua pemain untuk bermain mati-matian bagi merebut tiket ke final,” katanya kepada media Berita Harian.

Pemain berusia 21 tahun itu menjelaskan pasukan Selangor akan berusaha untuk mencari gol awal bagi mengelak tekanan.

Red Giants turun dalam perlawanan ini dengan misi wajib menang selepas mereka tewas tipis 2-1 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos pada Sabtu lepas.

Tambah Syahmi lagi, hanya jaringan sahaja yang boleh membawa Red Giants ke pentas akhir. Beliau turut berjanji akan beraksi dengan disiplin yang tinggi berbanding aksi pertama di Larkin tempoh hari.

“Motivasi kami berada pada tahap yang baik dan perlu memberi fokus sepenuhnya untuk perlawanan kedua di Shah Alam. Bagi saya peluang untuk kami ke final masih terbuka luas.

“Kami cuma perlu perbaiki segala kelemahan yang ada. Barisan pertahanan juga perlu bersedia untuk mengawal Diogo Luis Santo yang mungkin akan diturunkan Sabtu ini,” katanya lagi.

Dalam aksi timbal balik ini, Selangor boleh mara ke perlawanan akhir sekiranya mereka mencatatkan kemenangan 1-0 kerana berjaya mendapatkan kelebihan satu gol di tempat lawan.