Quantcast

BERITA

FAM Sedia Ambil Khidmat Pakar Psikologi Untuk Harimau Malaya

Apa sahaja untuk Harimau Malaya. Demikianlah ikrar Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) agar skuad negara mampu menampilkan cabaran positif di pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Terbaru, badan induk bola sepak negara itu bersedia untuk melantik pakar psikologi, andai langkah tersebut boleh membantu pasukan negara mempersiapkan diri menjelang perlawanan pertama menentang Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno pada 5 September hadapan.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi

Namun langkah tersebut terpulang kepada permintaan oleh Ketua Jurulatih pasukan negara, Tan Cheng Hoe.

Menurut Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi, perkara itu akan diusulkan kepada Cheng Hoe demi memastikan keperluan pasukan negara dipenuhi.

Bercakap kepada Berita Harian semalam, Yusoff berkata beliau sedia maklum persiapan di dalam bola sepak bukan sahaja mengambil alih aspek taktikal, tetapi juga mental pemain yang akan diasak oleh tekanan ketika beraksi di tempat lawan.

“Kita sedia maklum [perlawanan] di Indonesia. Jadi mental kena kuat kalau tidak pemain akan ‘koyak’. Tidak hanya persiapan fizikal dan taktikal, mental juga mustahak untuk serap tekanan di stadium [Gelora Bung Karno].

“Sekarang kita pantau dan dekati pemain. Masih awal lagi untuk tentukan tetapi dalam sehari dua ini kita akan berbincang mengenainya bersama jurulatih.

Foto: FAM

“Jika jurulatih rasakan perlu, kita akan buat [melantik pakar psikologi]. Segalanya terserah kepada jurulatih untuk tentukan, sama ada perlu atau tidak,” jelas beliau yang juga merupakan pengurus pasukan.

Malaysia perlu merekodkan keputusan positif di perlawanan pertama untuk menyuntik semangat pemain menghadapi baki saingan yang juga sukar.

Selain Indonesia, Malaysia juga diundi bersama Vietnam, Thailand dan UAE di dalam saingan Kumpulan G.