Ibrahimovic Sedia Kembali Ke Old Trafford Jika Manchester United Memerlukannya

17 bulan lalu, pemain berusia 37 tahun ini meninggalkan Old Trafford untuk beraksi bersama LA Galaxy dalam kejuaraan MLS di Amerika Syarikat.

Selepas membuat 49 penampilan dalam semua pertandingan, beliau telah pun menjaringkan 46 gol – termasuk dua gol yang dijaringkan dalam perlawanan terbaru menentang seteru setempat, LAFC yang berkesudahan seri 3-3.

Dalam satu temuramah bersama SkySports, pemain tinggi lampai ini percaya dirinya masih boleh bermain di peringkat tertinggi dan berjenaka yang beliau bersedia untuk kembali menyertai Manchester United sekiranya kelab Inggeris itu memerlukannya.

Zlatan
(Photo by Katharine Lotze/Getty Images)

Kurang setahun bersama United, Ibrahimovic terpaksa bertarung dengan kecederaan serius di bahagian lutut, sekaligus menamatkan kecemerlangannya menjaringkan 28 gol sebelum  kecederaan tersebut.

Namun The Red Devils tetap berjaya menamatkan musim tersebut dengan merangkul dua trofi iaitu kejuaraan Piala EFL dan Piala Europa (UEL).

Selepas mengejutkan ramai pihak dengan proses pemulihan yang begitu cepat, Zlatan sempat membuat tujuh penampilan di musim keduanya di Old Trafford sebelum berhijrah ke Los Angeles semasa tempoh perpindahan pertengahan musim.

Sehingga ke hari ini, beliau tetap mengikuti rapat segala perkembangan bekas kelabnya itu.

Masih mampu beraksi dengan baik di EPL

“Saya boleh beraksi dengan mudah di EPL. Jika United perlukan saya, saya ada di sini. Tetapi sekarang saya milik Galaxy, jadi saya minta maaf.” kata beliau dengan nada berseloroh.

“Di Eropah saya telah melaksanakan tugasan dengan baik dan saya menikmatinya. Saya mengumpul 33 trofi kejuaraan yang dibawa bersama ke sini dan saya amat berharap akan dapat sesuatu [kejuaraan] di sini. Nanti kita akan lihat di mana pengakhiran ‘pengembaraan’ ini.”

United tentunya amat memerlukan kepakaran yang dimiliki oleh pemain penyerang seperti Ibrahimovic, lebih-lebih lagi dengan prestasi semasa pasukan mereka termasuk kekalahan 2-1 kepada Crystal Palace pada hujung minggu lepas.

(Photo by Michael Steele/Getty Images)

“Ya saya tengok, saya tengok perlawanan itu dan saya beranggapan mereka tidak bernasib baik. Sekiranya mereka dapat menjaringkan penalti, ianya akan menjadi permainan yang berbeza. Tetapi di England, setiap perlawanan masih belum berakhir selagi wisel penamat belum ditiup.

“Segalanya boleh berlaku sekelip mata, terutamanya pada minit-minit akhir perlawanan yang sentiasa ‘panas’ dan mendebarkan.”

Nasihat kepada Pogba

Dengan berita terbaru, Alexis Sanchez akan mengikut jejak langkah Romelu Lukaku dengan menyertai Inter Milan, sudah tentu United tidak mahu lagi kehilangan pemain penting seperti Paul Pogba.

Terutamanya pada saat-saat akhir sebelum pintu perpindahan Eropah ditutup tidak lama lagi.

Pelbagai spekulasi melanda kem United melibatkan pemain perancang tengah itu sepanjang musim panas ini. Menurut Ibrahimovic dirinya sentiasa terbuka untuk menghadapi cabaran baru dan mengatakan Pogba sepatutnya dibenarkan untuk meninggalkan Old Trafford sekiranya itu yang dimahukannya.

Ketika ditanya sama ada beliau masih berhubung dengan bekas rakan sepasukannya itu, bekas pemain antarabangsa Sweden tersebut mengatakan:

“Saya ada bercakap dengan dia [Pogba]. Banyak nasihat yang saya berikan kepadanya, tetapi tiada satu pun daripadanya yang saya akan beritahu awak!” katanya sambil tergelak.

Tidak terkejut Perpindahan Rooney ke Derby

Seorang lagi bekas rakan sepasukannya di United yang kini turut beraksi di MLS ialah Wayne Rooney – telah sah akan kembali ke England pada bulan Januari akan datang bagi menyertai Derby County selaku pemain merangkap jurulatih.

“Tidak, saya langsung tidak terkejut dia [Rooney] akan kembali ke sana. Sudah tentu tidak.

“Dia datang ke sini, cuba buat yang terbaik dan ya, dia bersabar. Kami memerlukan kesabaran yang tinggi untuk menunggu ianya [musim] berakhir. Kuncinya ialah kesabaran.

“Maksud saya, kontrak saya akan berakhir pada 31 Disember ini. Apa yang akan berlaku pada masa akan datang, saya sendiri tidak tahu.

“Saya beraksi di posisi yang berbeza dengan Wazza [Rooney]. Wazza jauh lebih muda berbanding saya. Saya lebih tua, tetapi lihat, saya masih mendominasi dan mampu untuk melakukan sesuatu yang berbeza.

“Kita tunggu dan lihat apa akan berlaku [sehingga akhir musim]. Saya perlu memastikan fizikal saya sentiasa dalam keadaan yang baik.”

Umur Ibrahimovic akan mencecah 38 tahun pada Oktober ini, namun kemampuan pemain itu beraksi di peringkat tertinggi dan mampu bermain dalam 90 minit perlawanan sudah tentu amat dikagumi oleh peminat bola sepak di seluruh dunia.

Berdasarkan prestasi semasa, tidak ada tanda-tanda Ibrahimovic akan menggantung but dalam masa terdekat. Malah beliau tidak pernah menyebut tentang ‘persaraan’ mahupun sebarang perancangan masa depan seperti menjadi jurulatih atau karier lain.

Barangkali ‘Dewa Bola Sepak’ ini tidak mahu berhenti bermain sampai bila-bila!

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN