FAM Prihatin Pada Penyokong, RM100 Untuk Enam Perlawanan Kelayakan Piala Asia 2023 Di Bukit Jalil

Sebentar tadi, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah pun mengumumkan mengenai penjualan ‘Tiket Kombo RM100’ menerusi laman web rasmi mereka bagi membolehkan para penyokong setia Malaysia hadir menonton kesemua enam perlawanan Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023 bagi Kumpulan E di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Jun ini bersama tawaran harga amat  istimewa.

FAM telah memperkenalkan harga tiket iaitu RM100 sahaja untuk enam perlawanan dengan waktu terhad dari 16 hingga 29 Mei 2022 menerusi laman web www.tickethotline.com.my.

Dengan harga RM100 itu, para penyokong bakal menyaksikan perlawanan Bahrain lwn Bangladesh dan Turkmenistan lwn  Malaysia pada Rabu, 8 Jun 2022, Bangladesh lwn Turkmenistan dan Malaysia lwn Bahrain pada Sabtu, 11 Jun 2022 serta Bahrain lwn Turkmenistan dan Malaysia lwn Bangladesh pada Selasa, 14 Jun 2022.

Semua perlawanan tersebut bakal berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil dengan dua perlawanan pada waktu berbeza yang membabitkan sebelah petang dan satu lagi malam buat skuad kebangsaan.

Jelas Dato’ Posa Haji Majais yang merupakan Naib Presiden FAM serta Pengerusi Jawatankuasa Tiket dan Stadium, menerusi pengenalan harga tiket kombo tersebut, perkara ini dapat memudahkan para penyokong untuk menyaksikan setiap perlawanan dengan mudah tanpa perlu membuat pembelian tiket secara berasingan selain menikmati diskaun harga sebanyak hampir 20 peratus.

“FAM berprihatin terhadap penyokong yang merancang ke stadium untuk ketiga-tiga Hari Perlawanan bagi saingan kelayakan Kumpulan E ini dan sebagai tanda penghargaan daripada FAM, kita memperkenalkan ‘Tiket Kombo RM100’ ini supaya ia dapat memudahkan mereka (penyokong), selain memberikan sedikit penjimatan dari segi harga.

“Bagaimanapun, tawaran ‘Tiket Kombo RM100’ ini hanya akan dibuka penjualannya untuk tempoh selama dua minggu sahaja iaitu bermula Isnin depan, 16 Mei 2022 sehingga Ahad, 29 Mei 2022secara pembelian dalam talian di www.tickethotline.com.my.

“Selepas berakhir tempoh tersebut, penjualan akan tetap diteruskan sehingga hari perlawanan dengan tiket dijual secara berasingan iaitu berharga RM40 bagi setiap Hari Perlawanan. Sebagai contoh, untuk Hari Perlawanan 1 pada 8 Jun 2022, penyokong boleh menonton dua perlawanan iaitu Bahrain lwn Bangladesh pada sebelah petang dan Turkmenistan lwn Malaysia pada sebelah malam, dengan pembelian satu tiket pada hari perlawanan tersebut.

“Jadi kepada penyokong yang merancang ke stadium untuk ketiga-tiga Hari Perlawanan, tidak perlu membeli tiket RM40 secara berasingan sebanyak tiga kali yang harganya akan berjumlah RM120, sebaliknya lebih mudah dan jimat jika anda membeli saja ‘Tiket Kombo RM100’ ini,” kata Dato’ Posa pada sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini menerusi laman web rasmi FAM.

Selain itu, turut hadir ialah Mohd Saifudin Abu Bakar selaku Setiausaha Agung FAM, bersama Dato’ Haji Ismail Karim sebagai Bendahari FAM dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tiket dan Stadium FAM pada sidang media tersebut.

Selain ‘Tiket Kombo RM100′ (untuk 3 Hari Perlawanan) dan tiket RM40 (untuk 1 Hari Perlawanan) ini yang mana kedua-duanya adalah bagi tiket kategori tempat duduk Terbuka, FAM turut memperuntukkan penjualan sebahagian tiket untuk kategori tempat duduk Grandstand yang berharga RM60 untuk 1 Hari Perlawanan.

Bagi penyokong kanak-kanak pula, tiket dikenakan pada mereka untuk satu hari perlawanan ialah RM7 bagi lingkungan 6 hingga 12 tahun.

Untuk maklumat, jumlah maksimum pembelian tiket hanya lima sahaja dan setiap pembelian semua jenis kategori tiket bakal dikenakan caj tambahan seperti caj pemprosesan serta caj bank mengikut kadar yang ditetapkan.

“Promosi ‘Tiket Kombo RM100’ ini hanya untuk tiket kategori tempat duduk Terbuka sahaja dan bagi tiket kategori tempat duduk Grandstand, tiada penjualan secara kombo. Selain penjualan ‘Tiket Kombo RM100’ dari 16 hingga 29 Mei 2022, penjualan tiket Terbuka RM40 dan tiket Grandstand RM60 turut akan bermula pada 16 Mei 2022 sehingga ke hari perlawanan.

“Kita berharap agar para penyokong Harimau Malaya dapat memanfaatkan sepenuhnya kebenaran untuk kapasiti penuh kehadiran ke stadium menerusi SOP terkini COVID-19 daripada kerajaan dengan Stadium Nasional, Bukit Jalil ini akan dipenuhi sehingga 80,000 orang penonton kerana kita mahukan skuad Harimau Malaya kita beraksi dengan penuh bersemangat untuk melakar sejarah Malaysia layak ke Piala Asia 2023 di China,” tambah Dato’ Posa.

Menurut Dato’ Posa lagi, harga tiket bagi dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 iaitu Malaysia bertemu Myanmar pada Jumaat, 27 Mei 2022 dan Malaysia bertemu Hong Kong pada Rabu, 1 Jun 2022 yang mana kedua-dua perlawanan tersebut turut akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil sebagai persiapan skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan Gon menghadapi tiga aksi kelayakan Kumpulan E itu nanti.

“Bagi perlawanan menentang Myanmar dan Hong Kong ini, harga tiket yang telah ditetapkan ialah pada satu harga saja iaitu RM30 dewasa dan RM7 kanak-kanak (6 hingga 12 tahun) bagi setiap perlawanan, tidak termasuk tambahan caj pemprosesan dan caj bank. Tiada tiket kategori Grandstand bagi kedua-dua perlawanan ini.

“Penjualan tiket perlawanan menentang Myanmar dan Hong Kong ini turut akan dibuka mulai 16 Mei 2022 dan sama juga syaratnya, maksimum lima tiket bagi setiap pembelian,” ujar beliau secara menyeluruh.

Akhir sekali buat maklumat para penyokong, kesemua tiket hanya akan dijual menerusi dalam talian dan tiada jualan secara fizikal dibuat untuk aksi Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023 bagi Kumpulan E ini termasuk perlawanan antarabangsa Tier 1 bertemu Myanmar dan Hong Kong.

Ikuti kami di TikTok!

Semuanya BOLA akhirnya telah tiba di TikTok! Ikuti akaun TikTok kami untuk dapatkan info ringkas dan santai mengenai bola sepak dalam bentuk video pendek sekarang.

Jom buat ramai di sana dengan ikuti di tiktok.com/@mysemuanyabola sekarang!

Sumber:
FAM

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN