Usaha Kedah Jual Makanan Di Stadium Harus Dipuji Walaupun Kualiti Mengecewakan

Kedah Darul Aman (KDA) antara pasukan yang giat menjadikan diri mereka sebagai salah satu kelab yang mampu berdiri sendiri dengan menjual pelbagai barangan eksklusif untuk para penyokong.

Terbaharu, mereka telah pun melancarkan set makanan jenama tersendiri yang boleh didapati khas dari dalam Stadium Darul Aman sewaktu perlawanan menentang Melaka United tempoh hari.

Makanan yang ditawarkan mereka seperti burger, minuman, dan kerepek pisang nyata mendapat sambutan amat menggalakan daripada para penyokong memandangkan tiada makanan luar dapat dibawa masuk.

Perkara positif ini dapat dilihat kemampuan kelab untuk menjana kewangan dari pelbagai cara. Sebelum ini, Johor Darul Ta’zim paling menonjol dalam hal ini apabila mereka melancarkan kafe serta makanan jenama pasukan.

Perkara ini secara langsung dapat menambah isi kantung pasukan untuk terus bergerak tanpa mengharapkan tajaan syarikat luar sahaja. Secara tak langsung, apa yang Kedah lakukan bertepatan dengan bola sepak moden dimana pasukan berusaha buat duit dan bukannya harapkan dana kerajaan sahaja.

Percubaan yang baik, tapi masih perlu penambahbaikan

Namun ada beberapa perkara Kedah perlu teliti dan kaji untuk perubahan lebih positif selepas ini dalam penyediaan makanan serta harga yang ditawarkan pada masa akan datang.

Menurut salah seorang penyokong yang tidak mahu identitinya didedahkan, dia sedikit kecewa dengan makanan yang dibelinya baru-baru ini di stadium apabila ianya indah khabar dari rupa.

Menurut penyokong tersebut, tawaran harga yang diletakkan tidak berbaloi dengan apa yang dia dapat.

Malah, dia turut membuat perbandingan antara makanan yang dijual di Darul Aman dengan makanan yang dijual luar stadium.

Jelas sekali, makanan yang dibeli dari luar stadium jauh lebih murah dan baik dari segi penyediaan berbanding apa dijual oleh kelab.

“Saya bab menang atau kalah ni tak hairan sangat. Sudah biasa lalui. Tapi bab burger ini indah khabar dari rupa.

“Dalam gambar nampak daun salad. Beli buka tengok, ada lobak dan kobis boleh kira berapa sahaja tak ubah seperti burger yang jual sebelum ini, RM2.

“Pendapat saya, mungkin harga sebenar burger RM2 dan plastik pembalut RM2. Bukan tak mahu sokong. Buat makan bagi puas hati baru penyokong nak beli,” jelas penyokong tersebut dengan kecewa di Facebook peribadinya.

Masih ada ruang untuk baiki

Bukan hanya luahan penyokong sahaja, tetapi sebenarnya ada ramai lagi penyokong yang kecewa dengan kualiti makanan yang tidak setimpal dengan harga yang dikenakan.

Reaksi ini haruslah dipandang serius oleh Kedah dalam usaha mereka untuk memberikan pengalaman hari perlawanan (matchday experience yang terbaik.

Namun untuk kali pertama perkara ini dibuat, Kedah tetap wajar dipuji kerana mengambil inisiatif baharu untuk menambah sumber kewangan serta memberikan pengalaman menonton perlawanan bola sepak yang lebih menarik berbanding sebelum ini.

Mungkin selepas ini mereka boleh berkolaborasi dengan syarikat makanan segera terkenal mengenai penyediaan makanan lebih baik supaya rasa, kualiti, dan harga lebih berbaloi untuk penyokong bayar kelak.

Leave a Reply